malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Dr M ulangi k'jaan tak mampu beri elaun nelayan
Diterbitkan:  Jul 6, 2018 1:27 PM
Dikemaskini: 6:02 AM
ADS

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad nampaknya masih tidak senang dengan bantuan bulanan kepada nelayan, walaupun menteri kabinetnya memberi jaminan elaun sara hidup berkenaan tidak akan dimansuhkan.

Mahathir sekali lagi mengulas mengenai elaun nelayan dalam wawancara dengan laman web perniagaan Investvine yang diterbitkan hari ini.

"(Kerajaan terdahulu) memberi duit kepada nelayan, sama ada mereka menangkap ikan atau tidak, itu bukan soalnya, mereka mendapat (RM) 300 sebulan seperti gaji.

"Sekarang kita tidak mampu berbuat demikian kerana wang yang diberikan kepada mereka telah diambil daripada kerajaan atau daripada sumber haram," katanya.

Dua minggu lalu Mahathir dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub memberikan kenyataan bertentangan mengenai bantuan elaun sara hidup nelayan antara RM200 dan RM300 setiap bulan.

PM kata batal, menteri kata kekal

Mahathir dalam temu bual dengan Malay Mail, berkata bantuan itu akan dibatalkan, tetapi Salahuddin dalam satu sidang akhbar berkata ia akan dikekalkan.

Salahuddin kemudian mengeluarkan satu lagi kenyataan berkata Mahathir bermaksud menghapuskan insentif tunai satu kali oleh kerajaan BN kepada nelayan dan bukannya elaun sara hidup bulanan.

Terdahulu dalam wawancara Investvine itu, Mahathir menjelaskan pemberian wang tunai secara umumnya dapat menjejaskan daya saing mereka dan mewujudkan pergantungan kepada bantuan kerajaan.

"Ini melemahkan etika kerja mereka, mereka tidak lagi bekerja untuk mendapatkan nafkah. Mereka merasakan bahawa walaupun kamu tidak bekerja, kerajaan mempunyai amanah untuk membantu mereka dan ini tentunya sangat buruk kerana ini bermakna mereka tidak berdaya saing.

"Akhirnya bilangan orang yang memiliki daya saing akan berkurangan dan mereka tidak akan dapat membayar cukai yang diperlukan oleh kerajaan untuk menyokong gaya pentadbiran (BN) yang sangat boros ini yang memberikan hadiah percuma kepada rakyatnya.

"Jadi, kita perlu mengubahnya dan sudah tentu ada kosnya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen