malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Daim bakal ke China, runding ECRL, SSER
Diterbitkan:  Jul 6, 2018 10:06 AM
Dikemaskini: 2:10 AM
ADS

Anggota Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Tun Daim Zainuddin akan mengadakan kunjungan ke China untuk merundingkan semula syarat-syarat dan kos Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dan dua projek di bawah syarikat Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER).

Hal ini selepas Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan kerajaan mengeluarkan suatu notis menggantung projek ECRL dan dua projek di bawah SSER, iaitu projek Saluran Paip Pelbagai Produk Petroleum (MPP) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP).

Daim bakal ke China sebelum Lim yang juga dijadualkan melawat China hujung bulan ini untuk berunding mengenai ECRL dan SSER juga, lapor The Edge Markets hari ini.

Jurucakap kepada CEP mengesahkan kepada Malaysiakini tujuan kunjungan Daim itu bagi merundingkan semula syarat-syarat dan kos projek berkenaan.

Bagaimanapun, jurucakap tersebut enggan mendedahkan tarikh pemergian Daim itu.

Hubungan dengan Robert Kuok

Laporan The Edge Markets juga menyebut suatu sumber memaklumkan Daim akan menggunakan hubungannya dengan seorang lagi anggota CEP, Robert Kuok bagi melicinkan proses rundingan itu.

Walaupun dilaporkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengadakan lawatan ke China pada bulan Ogos, seorang pegawai di Pejabat Perdana Menteri berkata setakat ini rancangan tersebut tidak dapat disahkan.

Sebelum ini, dilaporkan perdana menteri berkata Lim bersama rombongan SPRM akan ke China dalam masa terdekat bagi membincangkan skandal projek SSER dengan pihak berkuasa negara itu.

Namun, laporan itu memetik Lim berkata akan dapat ke China hanya selepas sesi parlimen bermula pada 16 Julai ini.

Sebelum ini juga, Lim berkata kementerian kewangan telah mendapat arahan perdana menteri untuk mengeluarkan notis penggantungan bagi projek itu, selepas berunding dengan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Syarat-syarat "pelik" ECRL

Keputusan ini, tegas Lim, ditujukan kepada kontraktor yang berkaitan sahaja dan bukan kepada negara tertentu.

Lim dilaporkan mendedahkan, SSER, anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan (MOF), terbabit dalam skandal dikaitkan dengan MPP dan TSGP yang diluluskan Kabinet pada 27 Julai 2016.

Mahathir telah beberapa kali menyebut mengenai syarat-syarat "pelik" dalam projek ECRL dan menyatakan hasrat merundingkan semula syarat dan kos projek berkenaan.

Dalam satu kenyataan pada hari Selasa lalu, menteri kewangan mendedahkan jumlah kos sebenar ECRL dijangka sekitar RM81 bilion, berbanding RM55 bilion yang diumumkan pentadbiran BN sebelum ini.

Lihat Komen