malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Najib didakwa di mahkamah: Innalillah...
ADS

ULASAN | Memanda Najib sudah ditahan dan dimahkamahkan atas dakwaan skandal dan segala macam penyelewengan semasa berkuasa.

Apa yang dapat dikata atas musibahnya itu? Ia adalah kata-kata ibadah yang Islam ajar kepada umat Islam: Innalillah wa inna ilaihirajiun.

Bukan sekadar mati, atas apa saja musibah, itulah reaksi oleh setiap umat Islam.

Apa yang dapat kita komen atas tindakan terhadapnya? Sistem kita hanya berupaya bertindak ke atas rakyatnya yang lemah.

Belum dapat kita kata tindakan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang baru itu tegas dan berani. Sekalipun Najib itu orang bangsawan besar dan anak orang besar, tetapi tindakan itu masih dikira bertindak ke atas orang yang lemah.

Kita hanya ada kerajaan baru, tetapi kita masih dalam pemerintahan sistem yang sama. Kerajaan HARAPAN menyambung sistem yang terpakai dalam BN dan Umno.

Baik keadilannya, mahkamahnya, polisnya dan apa-apa institusinya hanya berupaya bertindak ke atas rakyat yang lemah, yang orang ramai bahasakan bilis. Tidak ke atas jerung.

Boleh naik jadi PM

Sekalipun Najib itu pernah jadi sebesar-besar jerung, tetapi hari ini dia sudah jadi jerung yang kecil lagi lemah. Yang baru jadi jerung sekarang Lim Guan Eng, Menteri Kewangan.

Dia dikatakan ada skandal dan masih dalam takluk mahkamah. Justeru, dia ialah jerung. Berupayakah sistem ini bertindak ke atas jerung?

Apa jua tindakan terhadap Najib, ia adalah sudah menjadi orang yang lemah.

Padahal segala yang dikatakan skandal bagi Najib itu bukan sekadar sesudah jadi perdana menteri dan adalah angkara 1MDB. Gemanya sudah ada seawal menjadi menteri pertahanan di bawah Dr Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi.

Justeru dia ialah orang gagah dalam sistem pada masa itu. Kerajaan dan sistem tidak terfikir untuk mengenakan apa-apa terhadapnya, bahkan dia boleh naik jadi timbalan perdana menteri dan perdana menteri.

Apabila menjadi perdana menteri Najib seolah-olah lebih besar daripada kerajaan dan lebih besar daripada sistem.

Mana kerajaan dan sistem boleh kuat kuasakan undang-undang, pertahankan wibawa integriti dan kebebasan institusinya sekalipun ia dilengkap dengan polis, SPRM, kehakiman dan demokrasinya.

Seantero alam hal ehwal Najib diperkatakan. Kerajaan dan sistem tidak berupaya mengusiknya. Wibawa dan kebebasan semua institusi itu jadi hiasan indah saja tetapi bukan untuk dikuatkuasakan terhadap semua.


Baca Subky: PAS jangan seronok dipuji Najib


Orang berkuasa itu tidak lebih tinggi daripada kerajaan dan sistem. Bagi Malaysia, raja-raja ada kekebalan. Perdana menteri tidak kebal. Tetapi demokrasi kita - secara amalinya - ketua kerajaan itu kebal.

Keadaan demikian menjadikan kuasa rakyat tiada makna, demokrasi tidak begitu berguna dan kerajaan serta institusinya serba lemah. Yang tidak lemah ialah orang-orang yang berkuasa.

Tidak seperti Korea Selatan, Jepun dan Israel. Presiden dan perdana menteri boleh dimahkamahkan. Lebih ramai presiden Korea dipenjara. Mereka boleh bertindak terhadap orang kuat dan orang lemah.

Najib tidak kena apa-apa semasa dia kuat. Jika dia perdana menteri lagi semuanya tidak buat apa-apa.

Setelah PRU14 menjadikannya lemah, barulah tindakan dikenakan ke atasnya. Apa hebatnya jika kita bertindak ke atas orang lemah? Hanya Kerajaan yang lemah mampu bertindak terhadap orang lemah seperti Najib sekarang.

Mahathir dan kerajaan HARAPAN belum boleh dikira tegas, telus dan berani sekadar bertindak ke atas orang lemah. Sekurang-kurangnya ia perlu berani membersihkan kes Guan Eng dulu.


SUBKY LATIF ialah wartawan veteran dan bekas anggota Jawatankuasa Pusat PAS. Tulisan ini disiarkan kali pertama di harakahdaily dengan judul Najib, Tahanan Ke Atas Yang Lemah.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen