malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Nik Nazmi Nik Ahmad, bagi saya, dan tanpa perbincangan dengan beliau pun, adalah lebih kanan dan lebih layak sebagai menteri belia dan sukan. Di dalam gabungan pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN), Nik Nazmi merupakan ketua pemuda bagi keempat buah parti.

Beliau punya pengalaman lebih, sekurang-kurangnya di Selangor sebagai mantan timbalan speaker dan exco. Sementara di dalam kancah politik, Nik Nazmi boleh diterima sebagai orang lama yang telah terdedah sebagai aktivis dan penulis sejak era pertengahan Reformasi.

Lagi pula, PKR mempunyai kerusi paling banyak. Dan jumlah menteri yang diperuntukan kepada parti itu, seperti kata ramai orang, secara relatif jauh lebih kecil berbanding sesetengah parti yang mempunyai jumlah kerusi minoriti.

Janganlah tanggapan dan pandangan ini disalah faham sebagai usaha menentang menteri yang dilantik, Syed Saddiq Abdul Rahman. Bagi sesetengah orang, melantik menteri muda adalah bagus.

Tetapi melantik menteri terlalu muda sebenarnya boleh mendatangkan perkara tidak baik. Bukan kepada orang lain, tetapi kepada dirinya sendiri.

Ibarat kata orang, “spoil the kid”.

Mungkin hal ini samalah seperti ibu bapa yang membelikan motosikal besar kepada seorang remaja yang terlampau muda. Kalau sungguh ibu bapanya sayang kepadanya, eloklah dibelikan sahaja motosikal yang sesuai saiznya dengan usia si anak.

Mengangkat tokoh terlalu muda ke persada kuasa telah kita saksikan sendiri di dalam rekod karier politik mantan perdana menteri, Najib Razak.

Sepanjang lebih 40 tahun dia meniti anak tangga politik termasuk menjadi menteri besar termuda, akhirnya membawa sial kepada partinya. Kini kebinasaan itu pelan-pelan sedang memakan dirinya pula.

Menjadi termuda dalam itu dan ini tidak bererti bagus dalam semua perkara.

Agak mengecewakan, sejurus diangkat sebagai menteri, Syed Saddiq hanya memetik nama menteri pendahulunya, Khairy Jamaluddin. Konon kalau boleh, mahulah dia bekerjasama dengan mantan ketua pemuda Umno itu.

Sedangkan secara akal waras, Syed Saddiq wajarlah mengutamakan suara ketua-ketua pemuda HARAPAN sendiri, bukannya Khairy.

Fahamlah kita bahawa gaya politik ‘matang’ yang mahu ditampilkan tidak akan menjadi matang sekiranya meninggalkan pasukan sendiri.

Tertib, adab, bertahap

Pemimpin HARAPAN harus ada semangat berpasukan. Lebih daripada itu, semangat bersaudara. Sebelum pilihan raya, dijeritkan tentang HARAPAN, tapi selepas itu bersahabat dengan pemimpin Umno pula nampaknya lebih cool.

Jawatan menteri bukan tandatangan mati. Kalaulah Nik Nazmi diangkat sebagai menteri belia dan sukan sekalipun, dia bukan selama-lamanya perlu berada di situ.

Satu penggal pun rasanya sudah memadai. Dan perlantikan Nik Nazmi dengan sendirinya boleh menjadi penanda aras bahawa HARAPAN bukanlah gabungan parti yang berkecamuk serta tidak menghormati tahap-tahap senior. Kalau pun bukan semuanya, tetapi sedikit wajarlah ada.

Dalam perjuangan yang paling bersifat radikal sekalipun, tetap ada adab dan bertahap-tahap.

Mungkin hari ini segelintir merasa hebat dan culas kerana terangkat begitu laju. Namun selaju itu jugalah kelemahannya dapat pula dibaca rakyat.

HARAPAN wajar menghantar mesej tentang ketertiban dan adab ini. Jika kita mengantar mesej yang salah, maka masyarakat dan anak-anak muda akan bertanggapan bahawa semuanya boleh dilanggar.

Malah mungkin timbul tanggapan tua semuanya buruk dan muda semuanya elok.

Sehinggalah kahwin pada usia sembilan tahun pun tak mengapa. Sedangkan perbuatan begitu adalah jauh daripada nilai peradaban tinggi manusia. Bukankah menjadi tanggungjawab perjuangan baru untuk membina peradaban dan bukan untuk mengeliru, dan apatah lagi menghancurkannya?

Sedikit saranan saya kepada Syed Saddiq, segeralah kembali memanggil pasukan pemuda HARAPAN. Dapatkan pandangan mereka.

Walaupun mungkin tidak begitu popular, tetapi itulah sebenarnya yang lebih manusiawi sementara berada di pentas kuasa.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen