malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mana insentif raya kami, soal peneroka Felcra
ADS

Sekumpulan peneroka Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) hari ini mempersoalkan kenapa insentif Hari Raya Aidilfitri yang diumumkan kerajaan pada 6 Jun lepas masih belum dibayar kepada mereka.

Ketua Peserta Felcra Gelung Pepuyu Dusun Bota Berhad, Usaili Alias, yang mewakili kumpulan peneroka tersebut berkata, sehingga kini kebanyakan peneroka belum menerima insentif mereka dan tiada apa-apa kenyataan atau penjelasan dikeluarkan oleh pihak Felcra berhubung perkara itu setakat ini.

Justeru, beliau menggesa pihak pengurusan Felcra segera membayar insentif tersebut kepada peserta Felcra di seluruh negara seperti yang dijanjikan oleh kerajaan persekutuan sebelum ini.

“Saya yakin ini berpunca daripada kepimpinan dan pengurusan Felcra yang gagal menguruskan insentif berkenaan selepas diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Malah ada pihak pengurusan Felcra yang mengatakan insentif yang diumumkan Tun tidak melibatkan peserta Felcra, sedangkan itu tidak betul,” katanya ketika ditemui di Kilang Sawit Felcra Berhad Nasaruddin di Parit hari ini.

Susulan itu, Usaili telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Seri Iskandar semalam.

Usaili berkata para peneroka mahu pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan mengenai kemungkinan berlaku penyelewengan oleh kepimpinan dan barisan pengurusan tertinggi Felcra, sama ada yang masih memegang atau yang telah meletak jawatan.

“Insentif berkenaan bukan seperti interim. Ia adalah janji kerajaan dan sudah tentu ia telah dikaji dan diperuntukkan kepada Felcra, cuma ia tidak diurus dan disampaikan kepada kami,” katanya.

Pada 6 Jun lepas, Tun Mahathir mengumumkan pemberian insentif raya kepada seluruh warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Felcra sebanyak RM450 bagi setiap peneroka.

Insentif raya yang bertujuan untuk meringankan beban peneroka itu melibatkan peruntukan berjumlah RM94 juta iaitu RM50 juta untuk Felda dan RM44 juta untuk Felcra.

- Bernama

Lihat Komen