BERITA

Najib ditahan hari ini, hadapi lebih 10 tuduhan esok

3 Jul 2018, 8:58 am

Dikemaskini 2 tahun lepas

A
+
A
-

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak akan didakwa di mahkamah esok.

Menurut Pasukan Petugas Khas 1MBD Najib sudah ditangkap di rumahnya kira-kira jam 2.35 petang ini.

Katanya Najib ditahan berikutan kes bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Terdahulu pasukan petugas khas dianggotai empat individu itu memberitahu tangkapan berkenaan dibuat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di rumah Najib di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur.

"Najib akan dituduh pada 4 Julai pada jam 8.30 pagi di mahkamah Kuala Lumpur," katanya.

Untuk rekod pasukan pertugas khas itu ditubuhkan kerajaan Pakatan Harapan selepas mereka berjaya membentuk kerajaan melalui pilihan raya umum pada 9 Mei lalu.

Ia dianggotai bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Momahed, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Abdul Hamid Bador.

Hakim paling kanan

SRC International ialah satu daripada anak syarikat firma pelaburan milik penuh kerajaan 1MDB sebelum ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Najib pernah hadir memberi keterangan kepada SPRM selama dua hari berturut-turut pada 23 dan 24 Mei lalu.

Beliau yang kini menjadi ketua Umno Pekan dikaitkan dengan dakwaan salah laku melibatkan wang sebanyak RM42 juta yang dimasukkan ke akaun persendiriannya.

Sementara itu sumber memberitahu Malaysiakini Najib bakal berdepan dengan banyak tuduhan di mahkamah esok.

"Dia mungkin akan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Seksyen 21 Akta SPRM," katanya.

Seksyen 409 Kanun Keseksaaan ialah kesalahan berkaitan pecah amanah oleh penjawat awam. Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang dari dua tahun tetapi tidak lebih dari 20 tahun, sebat dan denda.

Seksyen 23 Akta SPRM pula menyatakan seseorang penjawat awam yang didapati bersalah menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk apa-apa suapan - sama ada untuk diri sendiri, saudara atau sekutu - boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda nilai suapan.

Sumber itu menambah Najib juga boleh didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (Amla) 2001.

Untuk rekod bagi tuduhan mengikut Amla Najib disiasat oleh PDRM.

Sementara itu Bernama melaporkan Najib dijangka menghadapi lebih 10 pertuduhan berkaitan pecah amanah.

Lapor agensi berita pertuduhan berkenaan akan disebut di depan hakim paling kanan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur iaitu Datuk Zainal Abidin Kamarudin dan kes itu dijangka dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Jenayah 1 Kuala Lumpur.

Memetik sumber Bernama melaporkan Peguam Negara Tommy Thomas akan mengetuai pihak pendakwaan esok.