malaysiakini logo
story-image
ADS

PULASAN | Masih terbayang dua wajah berbeza yang terpapar di kaca TV pada 6 April lalu. Tidak dapat dipastikan mengapa wajah seorang presiden parti boleh kelihatan begitu tertekan ketika mengumumkan tarikh pembubaran parlimen.

Ironinya wajah orang kanan presiden itu pula yang kelihatan ceria dan yakin. Sepatutnya kedua-dua mereka perlu nampak yakin di mata umum kerana ia adalah detik yang penting.

Pedulilah kalau keyakinan itu sekadar wayang. Dari segi ilmu komunikasi, Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi wajib menunjukkan tanda penuh yakin pada pengumuman secara langsung itu.

Najib gagal pada detik berkenaan. Dan kegagalan itu berlanjutan beberapa minggu kemudian dengan kemuncaknya pada 9 dan 10 Mei.

Zahid juga gagal.

Zahid ialah sahabat yang diakui sendiri oleh Najib. Pada masa sama Zahid begitu bangga menggambarkan Najib sebagai orang yang banyak berjasa pada dirinya.

Menceritakan hubungan antara keduanya Zahid berkata dia mula bekerja dengan anak Allahyarham Abdul Razak Hussein itu seawal 1 Okt 1987. Tugasnya ialah setiausaha politik kepada Najib yang ketika itu menteri belia dan sukan.

Kemudian mereka terus berkawan rapat.

"Saya minta orang Bagan Datuk mendoakan hubungan saya dengan Najib terus berpanjangan sebagai pemimpin nombor satu dan dua, seorang sahabat, adik-beradik," katanya semasa berucap di Wisma Bagan Datuk pada 17 Dis 2016.

Bertugas tanpa kuasa

Setahun kemudian, Zahid mendapat faedah daripada budi ditabur Najib. Zahid khabarnya ketika itu berdepan tekanan daripada pimpinan Umno Bagan Datuk.

"Dan saya diminta Zahid tolong pergi rasmi (mesyuarat) bahagian pemuda Bagan Datuk, saya beranikan diri.

"Saya tahu pimpinan betul-betul menentang, saya tak kisah. Saya kata apa nak jadi jadilah, saya tetap pertahan," kata Najib pada 9 Dis 2017.

Hasilnya: Zahid menang dalam pemilihan di peringkat bahagian itu dengan kelebihan 11 undi. Sebelas itu ialah nombor bertuah Najib.

Kemudian takdir yang ditentukan itu pun datanglah. Umno tersungkur dari kuasa dan Najib berundur dari tempatnya sebagai pemimpin.

Umno kemudian menerima tekanan supaya berubah. Biasalah, bukan senang nak berjuang apabila selama ini tidak pernah melakukan sebarang tugasan tanpa kuasa.

Pembangkang lainlah. Mereka memang selama-lamanya bekerja sebagai orang tertindas sehinggalah tiba tarikh 9 Mei itu yang menyaksikan Pakatan Harapan membentuk kerajaan di Putrajaya.

Umno terus mendapat tekanan untuk keluar daripada bala yang menimpa. Hilang kuasa - kalau mengikut keadaan semasa politik negara - bermakna seseorang itu boleh hilang hampir segala-galanya, waima coklat dalam peti sejuk.

Tinggilah harapan orang ramai yang sayang kepada negara ini mahu melihat sebuah kerajaan dapat dipertanggungjawabkan atas segala keputusan yang diambil. Caranya ialah dengan mewujudkan parti pembangkang yang berkesan.

Maksudnya, harapan itu ada pada Umno.

Dalam keadaan begitulah 99 daripada 191 bahagian Umno melantik Zahid menggantikan Najib dalam pemilihan parti itu semalam.

Gigih bela Najib

Jika anda lupa, mari kita ingat semula secebis isu yang berlaku sehingga membawa kepada detik tersungkurnya Umno dan BN pada 9 Mei lalu.

Najib terpalit dengan skandal 1MDB, dan Zahid adalah antara orang yang gigih membela Najib. Zahid jugalah yang mengaku pernah berjumpa individu yang menghulurkan derma berbilion ringgit itu kepada Najib.

Perwakilan Umno di seluruh negara diberi pilihan untuk melantik ketua. Ada Zahid, ada Khairy Jamaluddin, dan ada Tengku Razaleigh.

Kemudian berbondong-bondong yang memberikan undi kepada Zahid. Maka tinggallah Khairy sebagai anggota parlimen Rembau saja manakala Tengku Razaleigh pula kempunan sekali lagi selepas 31 tahun.

Jika itu belum cukup menghiburkan, lihat pula nama-nama yang terpilih sebagai naib presiden. Di sana ada tujuh tokoh yang bertanding.

Daripada tujuh orang itu, memang melampaulah kalau anggota Umno mengundi untuk menaikkan Ahmad Said atau Sheikh Razali Sheikh Hamad.

Selain dua orang itu, majoriti bahagian Umno memberikan dukungan kepada ahli politik dari Pahang yang juga bapa kepada seorang penyanyi, Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri menjadi naib presiden paling kanan kalau melihat kepada kedudukan undi yang diterimanya. Di kedudukan kedua pula ialah bekas menteri pelajaran Mahdzir Khalid. Naib presiden ketiga ialah tokoh yang khabarnya dikorbankan di Johor demi mengetepikan Najib, iaitu Khaled Nordin.

Tidak dapat dipastikan bila atau di mana Ismail Sabri atau Mahdzir pernah bercakap bahawa mereka ada menegur Najib dalam isu 1MDB.

Tetapi Khaled bernasib baik jugalah kerana sempat bertahan untuk menempatkan diri di tubir kerusi kuasa Umno.

Bagaimana dengan Johari Ghani? Beliau pemimpin yang - secara relatifnya - masih muda dan agak terbuka serta rasional semasa memberikan penerangan mengenai 1MDB.

Pahlawan-pahlawan hebat

Semalam - pada hari perwakilan Umno memilih pemimpin mereka - Khaled dan Johari dilaporkan berkisah mengenai kesilapan-kesilapan silam parti itu.

Khaled berkisah mengenai gangguan dihadapi - termasuk di bahagian Pasir Gudang yang dipimpinnya - daripada "budak-budak Najib" hanya kerana menegur bekas presiden itu dalam isu 1MDB.

Johari pula bercerita mengenai kealpaan sesetengah pemimpin yang berasa diri mereka terlalu hebat, sehingga akhirnya dihukum beramai-ramai oleh pengundi.

Dan Johari tergelincir daripada laluan untuk menjadi naib presiden.

Tapi itulah, di sebalik sikap berkenaan mujur juga undi Tajuddin Rahman tidak mencukupi untuk mengetepikan Khaled.

Dalam bahasa mudah, keputusan pemilihan semalam ialah satu kesepaakatan oleh majoriti bahagian Umno untuk menyergah rakyat Malaysia yang terluka akibat skandal 1MDB.

Dari Pusat Dagangan Dunia Putra Umno menguar-uarkan bahawa mereka mahu berubah dan mendapatkan semula kuasa, tetapi 1MDB bukan satu masalah buat parti berkenaan.

Untuk lebih menarik dan memahami isu ini anda boleh melihat senarai anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno. Secara tidak rasmi di sana ada Azeez Rahim, juga Ahmad Maslan serta Bung Moktar Radin dan Lokman Noor Adam.

Siapakah nama-nama itu? Mereka ialah pahlawan-pahlawan hebat Umno serta tokoh pemikir yang berprestasi sangat tinggi.

Lihat pula pemimpin yang mengetuai sayap Umno. Pada Pergerakan Pemuda Umno ada Asyraf Wajdi Dusuki yang mempunyai latar belakang agama yang hebat.

Wanita Umno pula sekarang dipimpin tokoh berpengalaman lama mengetuai Puteri Umno.

Namun tokoh yang paling menonjol kefahamannya mengenai Islam tentulah ketua Puteri Umno itu.

Dengan naib-naib presiden yang terpilih, barisan anggota MT yang amat berwibawa dan watak menarik pada Pemuda, Wanita serta Puteri Umno, tidak ada sebab mengapa Umno boleh gagal bangkit.

Cuma isunya ialah, mereka mahu bangkit dari mana dan selepas itu, apa?


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang berharap ada pihak sudi menyokong cadangan menyiarkan takbir hari raya puasa selama seminggu di radio dan TV Malaysia.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen