malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Syed Ali simpati pada bahagian Umno disiasat SPRM
ADS

PEMILIHAN UMNO 2018 | Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Al-Habshee hari ini menegaskan, bukan salah mana-mana bahagian Umno jika mereka menerima wang yang dikaitkan dengan dana 1MDB.

Kata ketua Umno Cheras itu jika benarlah ada bahagian tertentu yang menerima dana daripada wang 1MDB, mereka tidak boleh dipersalahkan.

"Saya kasihan kepada mereka (yang menerima dana tersebut). Mereka pun tak tahu (wang itu datang dari mana), ada orang bagi sumbangan dan mereka (Umno bahagian) ambil," katanya kepada media ketika pemilihan parti itu berlangsung di Cheras hari ini.

Semalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan badan itu membekukan akaun bank beberapa bahagian Umno sebagai proses siasatan mereka terhadap skandal 1MDB.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga mengesahkan akaun Umno Selangor adalah antara yang terjejas dengan tindakan diambil SPRM tersebut.

Syed Ali - yang menang tanpa bertanding untuk kekal sebagai ketua Umno Cheras - bagaimanapun berkata dia lega kerana tiada mana-mana akaun bank bahagian parti itu di Wilayah Persekutuan dibekukan.

"Kami di Cheras bernasib baik. Saya tak fikir ada mana-mana wang dari 1MDB diberikan kepada kami.

"Kami tak terima duit daripada 1MDB, akaun bank kami dan Umno Wilayah Persekutuan tidak dibekukan," katanya.

Menurut Syed Ali lagi, sepanjang pengetahuannya pada 2013 Umno Wilayah Persekutuan hanya menerima dana daripada Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Tengku Adnan ketika itu ialah Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan.

"Tengku Adnan yang berikan sumbangan kepada kami, bukan Ibu Pejabat Umno.

"Umno pusat cuma bantu dari segi pentadbiran sahaja, dalam jumlah yang kecil. Saya tak fikir SPRM akan ambil tindakan," katanya.

Terdahulu portal Sarawak Report mendakwa sebahagian daripada dana 1MDB disalurkan kepada Umno dan BN untuk membantu parti terbabit menghadapi pilihan raya umum 2013.

Menurut portal terbabit wang berkenaan disalurkan melalui presiden Umno ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen