malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Sivarasa bebas tuduhan muat naik gambar palsu Najib
ADS

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membebaskan Anggota Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa h daripada pertuduhan memuat naik muka hadapan palsu majalah Time yang memaparkan gambar bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di laman Facebooknya dua tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya dari SKMM Mohd Sophian Zakaria memaklumkan bahawa pihaknya bersetuju untuk menarik balik kedua-dua pertuduhan yang dikenakan ke atas Sivarasa selepas menerima surat representasi daripada peguam tertuduh.

Dihubungi Malaysiakini, peguam Sivarasa, M Puravalen, mengesahkannya.

“Dengan ini beliau dibebaskan dan dilepaskan daripada tuduhan,” kata peguam itu.

Surat representasi dihantar kepada pihak pendakwaan yang relevan, biasanya Pejabat Peguam Negara, memohon untuk menggugurkan kes atau mengurangkan sebahagian atau semua pertuduhan terhadap tertuduh.

Terdahulu, Mohd Sophian berkata pihak Orang Kena Saman (OKS) menghantar surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 20 Jun lepas untuk menggugurkan kesemua pertuduhan yang dihadapi OKS.

"Pihak AGC telah mempertimbangkan representasi itu dan bersetuju untuk menarik balik kedua-dua pertuduhan berkenaan," katanya.

Pada 15 April 2016, Sivarasa  mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memuat naik muka hadapan palsu majalah Time yang memaparkan gambar Najib di laman Facebooknya, Mac 2016.

Dia menghadapi dua pertuduhan menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman akaun Facebook 'Sivarasa Rasiah' dalam dua pautan iaitu secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Sivarasa, 62,  yang juga seorang peguam itu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan berkenaan pada 7.41 malam, 22 Mac 2016 dan 4.59 pagi, 23 Mac 2016.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua pautan itu dibaca di No A-1110, Tingkat 11, Menara A Pandan Kapital, Jalan Pandan Utama, Pandan Indah di sini pada 9.20 pagi hingga 9.30 pagi, 23 Mac 2016.

[Baca berita asal]

Lihat Komen