malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ku Li: Umno rosak teruk akibat politik wang
Diterbitkan:  Jun 26, 2018 8:47 PM
Dikemaskini: 1:19 PM
ADS

Calon presiden Umno Tengku Razaleigh Hamzah berjanji untuk menghapuskan politik wang daripada parti itu.

Beliau menjelaskan kerosakan yang dibawa amalan politik wang terhadap Umno dalam wawancara bersama stesen radio BFM hari ini.

Anggota Parlimen Gua Musang itu berkata ada antara ketua Umno bahagian yang menyalahgunakan hubungan mereka dengan kakitangan kerajaan negeri atau persekutuan, seterusnya mengekalkan kedudukan mereka malahan enggan memberikan peluang kepada pemimpin muda parti itu.

"Ia telah merosakkan parti dengan teruk sekali kerana kami tidak mempunyai barisan pengganti.

"Sebelum ini, saya masih ingat lagi bagaimana saya dan teman-teman (diberi peluang memimpin) semasa zaman Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak Hussein," katanya kepada BFM.

Orang tengah jaja kontrak

Beliau berkata 'orang tengah' ini tidak ada kepakaran selain 'menjaja' sehelai kertas kepada sesiapa yang mahu membeli kontrak yang didapatkannya, suatu hal yang menurut ketua Umno bahagian Gua Musang itu sebagai tidak berguna kepada parti dan individu berkenaan juga.

"Ia tidak membantu orang ini dalam jangka masa panjang kerana dia tidak mendapat tambahan pengetahuan atau kepakaran selain menjaja kertas atau kontrak hanya untuk imbuhan yang sedikit yang tidak akan bertahan lama, kerana dia akan berbelanja untuk mendapatkan dukungan penyokongnya," katanya.

Semasa berkempen bagi pemilihan Umno kali ini, Ku Li berkata beliau mendapat tahu terdapat perwakilan yang menolak tawaran wang sementara ada pula yang menerima wang tanpa sebarang janji sokongan.

"Jadi terdapat kesedaran umumu bahawa politik wang tidak bagus untuk mereka dalam jangka masa panjang dan saya fikir ia pelajaran yang baik ketika tempoh berkempen ini.

Golongan muda ambil alih kepimpinan

"Kita berupaya menyebarkan idea bahawa kami menolak politk wang dan wang yang digunakan untuk kempen ini. Paling kurang saya tak berbelanja walau sesen pun," katanya.

Menjawab soalan caranya mereformasikan Umno, Tengku Razaleigh berkata beliau akan mengecilkan pentadbiran parti kepada saiz 'yang lebih wajar' walaupun pada peringkat ibu pejabat Umno.

Beliau juga berikrar akan tegas dengan anggota parti berhubung isu politik wang.

"Dan pada masa yang sama, kita berfikir bahawa kita perlu membimbing golongan muda untuk mengambil alih kepimpinan.

"Saya menawarkan berkhidmat untuk satu penggal. Itu sahaja. Dan saya tidak fikir saya boleh melampaui tempoh itu. Oleh yang demikian, saya ingin melihat anak muda untuk masuk dengan cepat ke peringkat kepimpinan supaya dapat menggantikan saya dan kumpulan saya," katanya.

Lihat Komen