malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SPRM N9 tahan penolong jurutera awam JKR
ADS

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan hari ini menahan seorang penolong jurutera awam selepas disyaki menyalahgunakan kuasanya dan terlibat dalam perbuatan rasuah.

Sumber SPRM berkata suspek itu ditahan kira-kira 3.30 petang tadi di Pejabat SPRM Negeri Sembilan bagi membantu siasatan mengikut seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
SPRM dijangka mendapatkan permohonan reman di Mahkamah Majistret Seremban esok, kata sumber itu.

Suspek berusia 42 tahun itu dipercayai meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM18,000 secara beperingkat daripada sebuah syarikat sebagai balasan mempercepatkan urusan memperakukan kerja-kerja yang dijalankan syarikat terbabit.

Difahamkan, syarikat itu dilantik sebagai kontraktor untuk melaksanakan projek pembinaan dewan badminton dengan kos RM2 juta di sebuah sekolah di Negeri Sembilan.

Lelaki itu dipercayai melakukan perbuatan itu semasa menyandang jawatan Juruteknik Awam di Jabatan Kerja Raya (JKR) Seremban antara 2012 dan 2013.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan Ramli Ismail ketika dihubungi mengesahkan tentang penahanan lelaki itu.

- Bernama

Lihat Komen