malaysiakini logo
story-image
ADS

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa salah seorang pencabarnya untuk jawatan presiden Umno "merampas" cadangan untuk menambah baik parti untuk dijadikan bahan kempennya.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata beliau memberikan kepercayaan kepada "seseorang" untuk merombak serta menjalankan proses transformasi Umno.

"Saya katakan (kepada dia): Saya nak anda pengerusikan satu pasukan bertindak khas bagi memperbaharui serta mentransformasi Umno dan BN.

"Dia bagilah saya outline (tempoh) dalam 30 hari tetapi sekarang ini dia gunakannya sebagai bahan kempen, (kononnya) dia kalau dia jadi presiden, ini idea yang datang daripada dia untuk adakan perubahan.

"Saya yang suruh buat, saya yang bagi tugas dekat dia, kemudian dia dakwa itu sebagai (idea) dia," katanya pada majlis tertutup sambutan hari raya anjuran Umno Wilayah Persekutuan hari ini.

Ahmad Zahid yang juga pemangku tugas presiden Umno berkata proses transformasi parti itu perlu dipersetuju oleh akar umbi melalui perhimpunan agung tahunan, dan bukannya ditentukan oleh mana-mana individu.

Katanya beliau tidak mahu presiden Umno menjadi autokratik sebaliknya parti itu mempunyai majlis tertinggi, manakala perhimpunan agung tahunan mempunyai kata pemutus berhubung parti terbabit.

Bagaimanapun Ahmad Zahid enggan mendedahkan nama individu yang dimaksudkan 'mencuri' cadangan berkenaan.

"Saya tak nak sebut (nama) sesiapa pun (sebab) Umno kita nak... bersama, itu sebab kami mau team (pasukan) yang kuat untuk pulihkan Umno," katanya.

Walaupun tiada nama disebut, diyakini Ahmad Zahid merujuk kepada Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Bekas menteri belia dan sukan itu adalah seorang daripada pesaing untuk menduduki kerusi presiden Umno yang dikosongkan oleh Datuk Seri Najib Razak selepas dia berundur pada Mei lalu.

Pada 15 Mei Ahmad Zahid mengarahkan Khairy menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi memulihkan BN serta Umno yang tersungkur dikalahkan Pakatan Harapan.

[Baca berita penuh]

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen