Pengiklanan

    PAS tak 'kebuloq' politik kuasa, kata Sanusi bidas Mahfuz

    (Dikemaskini )

    PAS menyifatkan cadangannya menubuhkan kerajaan perpaduan di Kedah bukan kerana parti itu 'kebuloq' mahu menempatkan diri dalam politik kuasa.

    "Kerajaan perpaduan yang PAS cadangkan di Kedah adalah sebagai jalan keluar kepada kebuntuan kerajaan 18 kerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) yang bakal berdepan pelbagai masalah dan kemungkinan selama 5 tahun, bukan kerana PAS 'kebuloq' mahu menempatkan diri dalam politik kuasa," kata Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

    Beliau merujuk kenyataan Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar awal hari ini yang menyindir konsep perpaduan anjuran PAS menyelarnya sebagai usaha 'untuk menempatkan PAS dalam politik kuasa'.

    "Tapi bila PAS berkuasa penuh seperti di Kelantan dan Terengganu tak berbunyi pula tawaran bina kerajaan perpaduan kepada pembangkang di sana.

    "Rakyat boleh melihat betapa 'kebuloqnya' PAS untuk berkuasa," kata Anggota Parlimen Pokok Sena itu.

    'Alat bawa faedah pada rakyat'

    Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata kerajaan perpaduan itu hanyalah alat bagi PAS yang membawa faedah kepada kerajaan, rakyat dan negeri Kedah.

    "Pandangan Mahfuz bahawa kerajaan perpaduan hanyalah alat bagi PAS adalah benar, namun alat ini sebetulnya akan membawa faedah untuk kerajaan, rakyat dan negeri. PAS tidak kehilangan apa-apa jika Mahfuz menolak cadangan itu.

    "PAS tidak meminta kerajaan perpaduan di Perak, Perlis, Selangor, Johor, Pahang dan Pulau Pinang walaupun PAS ada kerusi di sana kerana di negeri-negeri itu, kerajaan sedia ada tidak menemui jalan buntu untuk memerintah.

    "Demikian juga di Kelantan dan Terengganu, tiada kebuntuan politik seperti di Kedah," katanya.

    Muhammad Sanusi juga berkata perbincangan mengenai lantikan speaker dibuat atas jemputan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir.

    "Harus Mahfuz sedari, perbincangan tentang pelantikan speaker dibuat atas jemputan YAB Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang perlukan sokongan pembangkang, bukan PAS yang terhegeh-hegeh mahu berunding mahukan jawatan speaker.

    "Sejak awal lagi, PAS telah memutuskan untuk menghantar calon speaker dan timbalan speaker untuk dilantik melalui undian dalam sidang DUN yang pertama bulan Julai nanti," katanya.

    Beliau berkata PAS bersiap untuk bertanding dalam sidang dewan bagi pelantikan speaker dan siap menerima apa sahaja keputusan pengundian nanti.

    'HARAPAN gelabah'

    "HARAPAN sebetulnya gelabah dengan membuat andaian bahawa PAS akan menggulingkan kerajaan dengan kelebihan undi yang ada pada Speaker Dewan.

    "Jika prinsip asas demokrasi mengizinkan sesuatu tindakan politik diambil oleh parti-parti politik, tidak boleh salahkan PAS kononnya mabuk kuasa kerana bertindak berlandaskan prinsip itu.

    "Jika pilihan raya negeri (PRN) adalah penyelesaian yang mereka fikir lebih baik daripada kerajaan perpaduan, PAS Kedah bersedia menghadapinya tanpa gentar," katanya.

    Bagaimanapun, Mukhriz pada 15 Jun lalu berkata kerajaan negeri telah mengenal pasti calon speaker dan timbalan speaker serta akan menunggu proses pemilihan pada 4 Julai.

    Mukhriz menegaskan tidak ada isu mengenai pelantikan speaker dan beliau tidak berhasrat mengadakan pilihan raya negeri semula sebagaimana yang dicadangkan PAS.

    HARAPAN memenangi 18 kerusi DUN daripada 36 kerusi, manakala PAS dan BN masing-masing memiliki 15 dan 3 kerusi.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih