malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Umno dakwa HARAPAN ugut penjawat awam
Diterbitkan:  Jun 23, 2018 6:42 PM
Dikemaskini: 11:13 AM
ADS

Unit Komunikasi Strategik Umno mendakwa pentadbiran HARAPAN pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mula mengugut penjawat awam dengan pelbagai cara supaya menyokong kerajaan.

"Nampaknya kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad mula menampakkan ciri-ciri diktatornya apabila menteri-menteri kabinetnya mula mengugut penjawat awam dengan pelbagai cara.

"Timbalannya, Datin Seri Wan Azizah Ismail mengingatkan semua penjawat awam di seluruh negara agar menyokong kepimpinan Pakatan Harapan atau kemungkinan dikenakan tindakan, termasuk buang kerja.

"Datuk Seri Azmin Ali pula mengugut ketua dan pegawai agensi kerajaan yang disyaki melakukan salah laku agar meletak jawatan atau disingkir," kata kenyataan unit Umno itu hari ini.

Dakwaan tapisan politik

Umno juga mendakwa berlaku tapisan politik bagi mereka yang ingin menyertai sektor awam.

"Bagi yang ingin menyertai sektor awam pula akan dikenakan tapisan politik sebelum diambil bekerja. Ini lebih teruk dari sistem sosialis dan menjengkelkan.

"Mereka nampaknya diberikan dua pilihan - sama ada menyokong HARAPAN untuk kelangsungan hidup mereka atau meletak jawatan atas syak wasangka," kata kenyataan itu.

Umno juga menyoal jika dakwaan yang dibuatnya itu merupakan cara Dr Mahathir mengecilkan perkhidmatan awam serta menjimatkan kos kerajaan.

"Mungkinkah ini cara halus Dr Mahathir untuk mengecilkan perkhidmatan awam, serta menjimatkan kos kerajaan? Atau ini taktik ugutan bagi menakut-nakutkan rakyat, khasnya mereka yang mengundi BN?" Soal kenyataan itu.

Unit komunikasi Umno itu juga mendakwa zaman pemerintahan Barisan Nasional mengamalkan demokrasi berpolitik dalam kalangan penjawat awam.

"Ini tidak pernah berlaku di zaman pemerintahan Barisan Nasional yang mengamalkan demokrasi berpolitik dalam kalangan penjawat awam.

"Hak menyokong mana-mana parti di luar Barisan Nasional (BN) amat dihormati, asalkan mereka bertugas mengikut atur-kerja yang digariskan untuk mereka, iaitu berkhidmat kepada rakyat," dakwa kenyataan itu lagi.

Bagaimanapun, pada era pemerintahan BN, para pemimpinnya biasa membuat gesaan supaya penjawat awam menyokong kerajaan.

Menjelang PRU14, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menyeru kakitangan kerajaan supaya walak (setia) kepada kerajaan dan memastikan Putrajaya tidak jatuh ke tangan pembangkang (pada waktu itu HARAPAN).

Bercakap dalam perhimpunan penjawat awam di pusat pentadbiran kerajaan itu, Najib Razak menyifatkan golongan itu sebagai setia kepada kerajaan dan pendukung utama negara.

'Tindakan disiplin sokong pembangkang'

Manakala itu bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid pernah dilaporkan memberitahu akhbar berbahasa Cina, Kwong Wah pada awal tahun ini bahawa tindakan disiplin akan dikenakan terhadap guru dan pegawai kementerian yang menyokong pembangkang.

Mahdzir berkata kakitangan awam, pegawai jabatan pendidikan dan guru dihalang daripada menyertai mana-mana parti pembangkang atau mengkritik kerajaan.

“Mereka patut letak jawatan dan gunakan kapasiti parti untuk bercakap atau bertanding dalam pilihan raya umum akan datang jika mereka mahu melawan kerajaan,” beliau dipetik Kwong Wah sebagai berkata demikian.

Kementerian akan mengarahkan golongan itu meletakkan jawatan, tambahnya.

“Kita tidak benarkan mereka bekerja dalam agensi kerajaan ketika menjadi pembangkang atau memegang jawatan parti,” katanya.

Bagaimanapun, kata Mahdzir lagi, mereka yang menyertai dan memegang jawatan dalam parti pemerintah (waktu itu BN) dibenarkan.

Lihat Komen