malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Elak guna panggilan jelek pembelot, perosak, kata Annuar
Diterbitkan:  Jun 23, 2018 3:12 PM
Dikemaskini: 8:11 AM
ADS

Panggilan jelek seperti petualang, pembelot, perosak sesama sendiri elok di elakkan, sebaliknya anggota parti Umno perlu menjaga etika ketika berkempen dalam pemilihan Umno, terutamanya sayap Wanita, Pemuda dan Puteri parti itu yang mengadakan pengundian hari ini, jelas Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa.

"Jagalah etika semasa berkempen.

"Usah kita membakar emosi. Ahli parti semuanya matang dan bijak menilai.

"Panggilan jelek seperti petualang, pembelot, perosak dan panggilan lain sesama sendiri tidak baik, elok di elakkan," kata Annuar yang juga calon timbalan presiden Umno.

Beliau yang juga anggota parlimen Ketereh mengingatkan ahli parti untuk tidak menabur wang kerana terdesak untuk menang pemilihan Umno.

Jangan tabur wang

"Jangan berpuak sehingga wujud 'personality cult', jangan terlalu ghairah sehingga tidak boleh terima kekalahan.

"Jangan cuba menabur wang kerana desperado semata-mata nak menang. Pilihlah secara bebas tanpa ikatan," katanya dalam suatu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Annuar turut berkata pemulihan Umno bererti menolak budaya negatif yang menjengkelkan rakyat.

Mesyuarat perwakilan dan pemilihan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bermula serentak di 191 bahagian pada jam 9 pagi ini.

Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno akan memilih kepimpinan peringkat bahagian dan pusat menerusi dua kertas undi berbeza dalam mesyuarat berasingan yang akan berlangsung pada sebelah pagi.

Kertas undi pertama adalah untuk pemilihan ketua, naib ketua dan 15 exco sayap peringkat bahagian manakala satu lagi kertas undi untuk memilih kepimpinan sayap pusat bagi jawatan pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap, ketua, naib ketua dan 25 exco sayap.

Lihat Komen