malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Perajurit muda TUDM diingatkan tidak bocorkan rahsia negara
ADS

Perajurit muda Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diingatkan supaya tidak sesekali membocorkan rahsia negara dan ketenteraan kepada mana-mana pihak yang tidak berkepentingan.

Ketika membuat ingatan itu, Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata perajurit muda perlu bertanggungjawab melaksanakan tugas sebagaimana yang dilafazkan dalam ikrar sumpah taat setia kepada Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong dan TUDM.

Selain itu, katanya tindakan tegas termasuk ditamatkan perkhidmatan akan dikenakan terhadap pegawai dan anggota TUDM sekiranya didapati bersalah melakukan sebarang perbuatan yang melanggar etika, peraturan dan undang-undang negara.

"Pengurusan TUDM tidak akan berkompromi dengan semua peringkat anggota yang melakukan tindakan bertentangan dengan perundangan perkhidmatan dan undang-undang sivil.

"Perbuatan sedemikian merugikan diri sendiri kerana rekod perkhidmatan yang buruk akan menjejaskan peluang untuk mendapat pekerjaan lain," katanya ketika berucap pada majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda TUDM Siri 58/2018 di Akademi Tentera Udara Ipoh hari ini.

Affendi berkata pegawai dan anggota TUDM perlu sentiasa memelihara disiplin, imej serta maruah pasukan beruniform itu dan tidak sesekali terlibat dalam perbuatan yang akan mendatangkan kemudaratan kepada kerjaya serta perkhidmatan.

"Ingatlah, setiap gejala negatif yang dilakukan tidak akan menghasilkan sebarang keuntungan kepada diri sendiri," katanya

Majlis itu menyaksikan 344 perajurit muda terdiri daripada 301 lelaki dan 43 wanita menamatkan latihan asas ketenteraan selama 24 minggu yang bermula pada 1 Jan lalu.

Perajurit Muda Udara Terbaik Keseluruhan dirangkul Muhammad Luqman Mohtar, 23, dari Kuala Terengganu yang membolehkannya menerima Piala Pusingan Panglima Tentera Udara.

Perajurit Muda Akademik Terbaik pula diberikan kepada M. Lithya Rani, 23, dari Alor Setar, Kedah yang membawa pulang Piala Pusingan Panglima Pendidikan dan Latihan Udara manakala Perajurit Muda Penembak Terbaik diraih Abdul Rohim Azelan, 24, dari Sungai Petani, Kedah dan membawa pulang Piala Pusingan Ketua Staf Tadbir.

- Bernama

Lihat Komen