malaysiakini logo
story-image
ADS

Mana-mana pihak yang cuba menghina raja-raja Melayu dan agama Islam di negara ini diingatkan supaya tidak berbuat demikian atau mereka akan berdepan dengan gabungan NGO yang bertindak memelihara institusi berkenaan.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Islah Malaysia (Perkid) Masridzi Sat dengan tegas memberitahu telah berbaiah akan mempertahankan agama Islam dan raja-raja Melayu sehingga titisan darahnya yang terakhir.

"Tak ada erti kalau tuanku dan raja dimainkan. Kami dah berbaiah dan kami akan pertahankannya sehingga titisan darah yang terakhir.

"Saya nak beri amaran kepada parasit, macai yang cuba membuat provokasi, cuba nak adu-domba dan permainkan institusi agama dan raja kami. Kamu boleh hina batang tubuh kami tapi jangan hina agama kami, sultan, Agong yang merupakan payung agama kami.

"Sekiranya bermain perkara ini, bermain dengan api, ingat. Pada yang cuba bersikap kurang ajar pada Agong dan sultan dalam apa jua, kami akan minta Polis Diraja Malaysia menjaga raja-raja Melayu dan bertindak.

"Sekiranya ada pihak cuba sabotaj dan cuba jadikan negara ini negara republik, kita akan tentang habis-habisan," katanya ketika berucap di hadapan sekumpulan hadirin pada himpunan Selamatkan institusi Islam dan raja Melayu di ibu negara hari ini.

Himpunan anjuran NGO Pemantau Malaysia Baru itu turut dihadiri ketua NGO berkenaan Datuk Lokman Noor Adam, pemimpin PAS Dr Mohd Zuhdi Marsuki serta Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwandin Hamzah.

Himpunan hari ini dipercayai rentetan penulisan aktivis Hishamuddin Rais serta anggota Majlis Tertinggi Parti Pribumi Malaysia (BERSATU) Datuk A Kadir Jasin berhubung dakwaan perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dan istana awal bulan ini.

Ekoran itu juga, beberapa laporan polis di seluruh negara telah dibuat terhadap Hishamuddin dan Kadir dan mereka disiasat bawah Akta Hasutan.

Zuhdi: Bila umat Islam nak bersatu?

Sementara itu, Zuhdi yang berkata hadir atas kapasiti peribadi hanya berucap pendek dan membangkitkan persoalan tentang bila umat Islam mahu bersatu.

"Saya berdiri pada petang ini atas kapasiti individu dan tak mewakili parti.

“Saya ajak semua satu perkataan sangat penting, bila lagi kita umat Islam mahu bersatu? Inilah masa," katanya ringkas tanpa menghuraikan tentang perkara tersebut.

Lokman: Tak tergamak saya nak sebut

Bagi Lokman pula, beliau melahirkan rasa kesal terhadap pihak yang memperlekehkan institusi raja-raja dan agama Islam.

"Hari ini kita berhimpun kerana tak rela agama Islam kita dan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, raja-raja Melayu mula diperlekeh dan diheret oleh pemimpin Pakatan seperti Hishamuddin Rais dan Kadir Jasin.

"Sebab itu kita dan buat laporan polis. Tak ada manusia di Malaysia yang pernah hina Agong seperti yang dilakukan Hishamuddin yang menuduh Agong macam-macam.

“Tak tergamak saya nak menyebut," kata Lokman yang juga bekas pemikir di Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang dimansuhkan kerajaan baru.

Lihat Komen