malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Khairuddin bohong, saya tak merangkak nak jumpa Dr M'
Diterbitkan:  Jun 22, 2018 9:44 AM
Dikemaskini: 3:32 AM
ADS

Calon presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi menafikan dakwaan bekas ketua bahagian parti itu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bahawa beliau 'merayu' supaya mengatur pertemuannya dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya tidak pernah merangkak dan bukan saya yang mengatur untuk berjumpa Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Datuk Seri Khairuddin yang menuduh saya menipu itulah yang menghubungi dan mengatur pertemuan dengan Tun Dr Mahathir," kata Zahid dalam suatu hantaran di Facebook.

Ketua Umno bahagian Bagan Datuk itu juga berkata orang luar tidak perlu campur tangan urusan dalaman parti itu.

"Saya berkata benar kepada ahli-ahli Umno. Orang luar tidak perlu masuk campur dan membuat pelbagai andaian dan dakwaan apa yang saya sampaikan demi untuk kepentingan dan kebaikan Umno," katanya.

'Zahid solat Istiharah, hidayah jumpa Dr M'

Manakala itu, Khairuddin dalam kenyataan balasnya hari ini berkata Zahid mengakui kepadanya telah bersolat sunat Istiharah sebelum mendapat hidayah bertemu Mahathir.

"Dia sanggup menipu dan berbohong semata-mata untuk memenangi jawatan presiden Umno yang sudah tidak relevan itu.

"Pada hakikatnya, Zahid Hamidi yang memohon untuk berjumpa dengan Tun Dr mahathir Mohamad.

"(Zahid Hamidi) kata dia sudah pun menunaikan solat istiqarah selama tiga hari berturut-turut serta dapat hidayah untuk berjumpa dengan perdana menteri malaysia. Atas dasar ini saya pun bertindak ke arah menemukan zahid hamidi dengan perdana menteri," katanya.

Semalam pemangku presiden Umno pada suatu majlis Umno Kelantan di Kota Bharu menegaskan tidak pernah meminta nasihat daripada Dr Mahathir Mohamad untuk menguruskan Umno.

"Saya tidak pernah meminta nasihat untuk Tun (Mahathir) beritahu saya bagaimana untuk menguruskan Umno.

"Saya dan rakan-rakan tahu bagaimana untuk menguruskan parti kami sendiri," katanya.

Terdahulu, seorang lagi calon presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah secara tidak langsung menempelak pertemuan antara pemangku presiden Umno dan Dr Mahathir itu.

Pemimpin veteran Umno itu berkata, beliau sesekali tidak akan merayu kepada Dr Mahathir untuk mendapatkan nasihat jika beliau pemangku presiden Umno.

Cara uruskan Umno

Bagaimanapun, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan pada 8 Jun 2018, mendedahkan Zahid Hamidi bertemu dengannya untuk mendapatkan nasihat berhubung apa yang berlaku dalam Umno sehingga parti itu ditolak pada pilihan raya umum ke-14.

“Dia nak tahu cara macam mana nak uruskan Umno. Jadi saya berterus terang bahawa Umno sudah mengkhianati orang Melayu.

“Saya ingatkan kepadanya, kita tubuh Umno untuk tolong orang Melayu tetapi kini Umno berubah dan mengutamakan kekayaan diri.

“Sebab itu Umno dibenci sekarang ini. Umno nak pulih susah. Dulu dipandang mulia sekarang dipandang jijik,” katanya sebagaimana dipetik wawancara khas bersama Sinar Harian.

Dr Mahathir ketika ditanya apakah nasihat yang diberikan kepada Zahid berhubung pertemuan itu, hanya berkata; “Saya kata dia fikir sajalah apa yang saya katakan."

ahid merupakan pemimpin parti pembangkang ketiga selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pemimpin PBB Datuk Seri Abang Johari Abang Openg hadir berjumpa dengan Dr Mahathir selepas HARAPAN menang PRU14.

 

Lihat Komen