malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dr M tak setuju kapal perang China di Laut China Selatan
Diterbitkan:  Jun 20, 2018 12:53 PM
Dikemaskini: 4:56 AM
ADS

Perdana menteri tidak bersetuju dengan kehadiran kapal perang China di Laut Cina Selatan dan mencadangkan penyelesaian “aman” dengan negara-negara Asean bekerjasama mengawal perairan itu.

Tun Dr Mahathir Mohamad juga mencadangkan kapal perang tidak digunakan, sebaliknya kapal kecil yang mampu menghadapi ancaman lanun.

“Saya rasa tidak patut ada terlalu banyak kapal perang. Kapal perang menyebabkan ketegangan.

“Suatu hari seseorang mungkin buat salah dan pertempuran akan berlaku, sesetengah kapal akan musnah dan mungkin juga berlaku perang.

“Kita tidak mahu perkara ini berlaku,” beliau dipetik sebagai berkata dalam wawancara dengan South China Morning Post yang berpangkalan di Hong Kong.

Mahathir mencadangkan kawalan bersama negara-negara Asean kerana laut itu dikelilingi negara-negara itu.

Selain China dan Malaysia, Laut China Selatan turut menyaksikan perkongsian sempadan antara Vietnam, Filipina dan Indonesia.

“Tetapi jika China mahu turut serta dengan bot kecil, mereka dialu-alukan.

“Sesiapa saja, malah Amerika Syarikat pun jika mereka mahu ambil bahagian, jangan bawa kapal perang di sini,” tambahnya.

Mahathir berkata China juga mempunyai kelebihan jika lautan itu dibiarkan terbuka kerana ia dapat menggalakkan perdagangan.

Beliau membangkitkan Selat Melaka sebagai contoh perdagangan bebas yang mendukung laluan air.

[Baca berita asal]

Lihat Komen