malaysiakini logo
story-image
ADS

Bapa kepada Altantuya Shaariibuu, warga Mongolia yang dibunuh kejam - Setev Shaariibuu - akan berjumpa dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya esok.

Peguam Setev, Ramkarpal Singh berkata perjumpaan itu akan berlangsung pada jam 5 petang di pejabat perdana menteri.

Ditanya apa yang mahu disampaikan kepada Mahathir, Setev berkata dia tidak dapat memikirkan apa-apa lagi setakat ini.

"Saya tidak pernah terfikirkan peluang ini akan menjadi kenyataan bahawa perdana menteri akan berjumpa dengan saya.

“Saya tidak boleh memikirkannya," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Namun, dalam satu kenyataan bertulis, Setev menyatakan harapan agar kerajaan Dr Mahathir akan melakukan apa sahaja untuk memberikan keadilan dan mengakhiri penderitaan keluarga Shaariibuu.

Sementara itu, Ramkarpal berkata dalam pertemuan dengan Peguam Negara, Tommy Thomas hari ini, isu penubuhan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kes pembunuhan itu akan dibangkitkan.

Beliau berkata ini menjadi alternatif kepada pembukaan semula siasatan polis, dan untuk mengetahui siapa yang mengarahkan pembunuhan berkenaan.

Altantuya, 28, ditembak mati dan tubuhnya diletupkan dengan bahan letupan kelas tentera di pinggir Kuala Lumpur pada Oktober 2006.

Bekas komando polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar disabitkan atas pembunuhannya pada 2009 dan dijatuhkan hukuman penjara.

Mereka kemudian dibebaskan apabila Mahkamah Rayuan membatalkan sabitan kesalahan pada tahun 2013 yang memerintah hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam keputusannya itu.

Namun, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati mereka pada tahun 2015. Sirul berjaya melarikan diri ke Australia sebelum keputusan itu dibuat manakala Azhar sedang menunggu hukuman mati ke atasnya dilaksanakan.

Lihat Komen