malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Azmin sebak beri ucapan terakhir sebagai MB
ADS

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak mampu lagi menahan sebak di saat memberikan ucapan terakhir selaku Menteri Besar Selangor hari ini.

Dalam acara bersama penjawat awam itu, Azmin berkata ia merupakan detik sukar untuk dirinya sepanjang memimpin pentadbiran negeri itu.

“Sekali lagi ini pertemuan yang amat sukar bagi saya, namun di kesempatan yang ringkas ini saya ingin memaklumkan sebentar tadi saya telah mengetip kad perakam untuk kali terakhir di bangunan ini.

"Dan dengan itu sudah sampai masanya saya tinggalkan semua di sini,” katanya sebak.

Beliau yang kini menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata tidak akan melupakan Selangor dan akan terus bekerjasama dengan penggantinya dalam aspek hubungan kerajaan pusat dan negeri.

Beliau berkata Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah juga telah berkenan untuk menjalankan istiadat angkat sumpah jawatan dan lantikan menteri besar baru pada jam 9.30 pagi esok di Istana Alam Shah, Klang.

"Pagi tadi saya telah mengadap Sultan Selangor untuk menyembah maklum nama pengganti saya selaku menteri besar baru. Baginda berkenan untuk menjalankan majlis istiadat angkat sumpah jawatan esok,"katanya lagi.

Terdahulu hari ini, Azmin mengesahkan telah mempersembahkan satu nama kepada Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Antara dua ADUN yang disebut bakal menggantikan tempatnya adalah ADUN Sungai Tua Amiruddin Shari dan ADUN Ijok, Dr Idris Ahmad.

Azmin menyuarakan keyakinannya terhadap kemampuan penggantinya untuk memimpin Selangor dan meneruskan kesinambungan pentadbiran dan dasar kerajaan negeri.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan dan kerjasama selama empat tahun saya memegang jawatan ini," katanya.

Selepas PRU ke-14, Azmin sudahpun mengangkat sumpah sekali lagi sebagai menteri besar tetapi terpaksa melepaskan jawatan itu selepas dinamakan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
 

Lihat Komen