malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Jack Ma kagum pengetahuan Dr M tentang teknologi
ADS

Pengasas dan pengerusi eksekutif Alibaba Group Jack Ma, yang mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini, terkejut dengan pengetahuan Perdana Menteri tentang teknologi.

“Saya terperanjat dengan pengetahuan beliau tentang teknologi,” kata Ma kepada Bernama selepas pertemuan itu yang berlangsung di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Menurut beliau, pada pertemuan selama sejam bermula pada kira-kira 9 pagi itu, mereka berkongsi banyak idea dan berbincang tentang cara untuk membebaskan lebih banyak rakyat Malaysia daripada belenggu kemiskinan serta memberi bantuan kepada lebih banyak golongan muda dan perniagaan kecil.

"Pertemuan ini sungguh bermanfaat,” kata Ma, yang berada di ibu negara untuk merasmikan sebuah pejabat Alibaba di Bangsar South, Kuala Lumpur, lewat hari ini.

Ma berkunjung ke Kuala Lumpur tahun lepas untuk melancarkan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) pertama dunia yang ditubuhkan bagi merangsang pertumbuhan e-dagang melalui penyediaan platform serba canggih bagi syarikat dan perusahaan kecil dan sederhana (SME) untuk menjalankan perniagaan dan perkhidmatan masing-masing.

Bertemu Guan Eng

Ma dilaporkan turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada majlis jamuan tidak rasmi malam tadi.

Laporan media menyebut bahawa Ma sebenarnya berhasrat mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir awal bulan ini, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana Dr Mahathir mahu memberi fokus terhadap urusan menyusun kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang baru ditubuhkan.

Kerajaan Barisan Nasional (BN), yang mentadbir negara sebelum ini, melantik Ma sebagai penasihat ekonomi digital kerajaan.

Pertemuan Ma dan Dr Mahathir diadakan ketika kerajaan PH berikrar untuk mengkaji semula beberapa projek yang diperkenalkan kerajaan BN sebelum ini dengan sokongan Beijing kerana kerajaan baharu lebih berminat mengadakan kerjasama ekonomi dengan Jepun.

Bagaimanapun, Perdana Menteri dilaporkan berkata projek DFTZ akan diteruskan.

- Bernama

Lihat Komen