malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mat Sabu percaya ada lantikan senator dari K'tan, T'ganu
ADS

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu percaya Kerajaan Persekutuan tidak akan lupa untuk melantik sekurang-kurangnya seorang senator yang menjawat jawatan menteri atau timbalan menteri dari Kelantan dan Terengganu walaupun Pakatan Harapan (HARAPAN) gagal memenangi sebarang kerusi parlimen di kedua-dua negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lepas.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata perkara itu akan dibincangkan oleh pakatan tersebut dan terserah kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memutuskannya.

"Saya yakin dua negeri ini tidak akan dilupakan, saya yakin akan ada (lantikan senator) lagipun sekarang ini kabinet penuh belum lagi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Mersa Aidilfitri Bersama Menteri Pertahanan anjuran Pakatan Harapan Negeri Kelantan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir Pengerusi HARAPAN Kelantan Husam Musa dan Pengerusi AMANAH Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Kabinet 28 orang

Perdana menteri sebelum ini mengumumkan 13 menteri kabinet baharu dan jumlah akhir dijangka mencecah 28 orang setelah ditambah wakil dari Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu berkata AMANAH telah melantik sebuah badan khas untuk membuat kajian faktor kurang berjaya AMANAH menarik sokongan rakyat di negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang pada PRU14 lepas.

Beliau berkata badan itu yang tidak diberikan had tempoh kajian perlu mengemukakan kritikan dan pandangan bagaimana untuk AMANAH dan Pakatan Harapan dapat menawan ketiga-tiga negeri itu pada PRU15.

Kelantan dan Terengganu kini ditadbir oleh PAS manakala Pahang diperintah oleh Barisan Nasional.

- Bernama

Lihat Komen