malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kerajaan PAS Terengganu catu peruntukan DUN
ADS

Kerajaan negeri terpaksa melaksanakan catuan kewangan dengan memberi keutamaan kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS kerana mereka tidak mendapat peruntukan yang sepatutnya ketika menjadi pembangkang sebelum ini.

Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pada pembentangan bajet 2018 pada Oktober tahun lalu, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah sebelum ini telah meluluskan peruntukan RM4 juta untuk setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, peruntukan tersebut telah habis dibelanjakan dalam tempoh tidak sampai setengah tahun iaitu sehingga April tahun ini.

"Dalam kerajaan lepas ada dibentangkan untuk setiap DUN, kalau tidak silap saya setiap DUN dirangkakan peruntukan sebanyak RM4 juta yang sepatutnya dibelanjakan untuk tempoh setahun iaitu Januari hingga Disember 20I8.

Keutamaan 'kawasan PAS'

"Bagaimanapun apa yang berlaku bila kami ambil alih kerajaan pada bulan lima (Mei), kami tengok akaun setiap wakil rakyat BN sebelum ini...saya terpaksa sebut secara terus terang kerana wang yang sepatutnya dibelanjakan dari Januari hingga Disember telah habis dalam bulan empat (April) iaitu waktu pilihan raya.

“Maka bila kami ambil alih terpaksa dibuat catuan dengan memberi keutamaan kepada kawasan pembangkang sebelum ini (PAS) yang sebelum ini tak dapat apa-apa untuk rakyat di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Bersama Anak- Anak Terengganu di Perantauan di Dewan Konvensyen Duyong Marina & Resort semalam yang turut dihadiri Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Justeru Ahmad Samsuri berkata peruntukan itu terpaksa dicatu pada ADUN pembangkang (BN) yang menang pada pilihan raya lalu kerana mereka telah menggunakannya sebelum tempoh yang ditetapkan.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri bagaimanapun akan merangka semula belanjawan dan peruntukan yang akan disalurkan kepada setiap DUN sekiranya mendapat tambahan peruntukan daripada royalti minyak seperti yang dijanjikan kerajaan pusat dalam pertemuan baru-baru ini.

"Apabila kami buat belanjawan pada bulan Oktober, kami akan pertimbang dan teliti semua cadangan yang dibuat oleh rakyat. Jadi saya cuma nak sebut inilah sebenarnya yang berlaku," katanya.

- Bernama

Lihat Komen