malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Gangguan dot my: Hati-hati layari perbankan internet
Diterbitkan:  Jun 16, 2018 12:08 PM
Dikemaskini: 6:26 AM
ADS

Disebabkan gangguan pada domain dot (.) my pada hujung minggu ini, pengguna laman web perbankan dalam talian Malaysia dinasihatkan supaya berhati-hati mengemukakan butiran penting maklumat peribadi.

Laporan di Lowyat.net mengatakan pelayan DNS yang mengendalikan nama domain dot (.) my nampaknya telah dimatikan taliannya (offline) sejak semalam dan ini mempengaruhi semua laman web domain dot (.) my.

Walaupun sesetengah laman web masih berfungsi menerusi penyertaan entri cache DNS, laman web dengan domain dot (.)  my ini akan menjadi tidak dapat diakses selapas cache berakhir.

"Kebanyakan laman perbankan dalam talian di Malaysia dihoskan di domain (.com.my), sehingga isu ini dapat diselesaikan, kami menasihatkan sangat berhati-hati apabila mengemukakan maklumat penting anda ke mana-mana perkhidmatan dalam talian yang dihoskan di nama domain (.com.my) dan (.my)," kata laporan itu.

Pemadaman itu juga memberi kesan kepada aplikasi perbankan mudah alih dan beberapa saluran pembayaran dalam talian, jelasnya.

Pelayan DNS (Domain Name System) menerjemahkan dan menyelesaikan alamat web dengan mudah ke alamat IP untuk diproses komputer.

MYNIC Berhad, pendaftar domain dot (.) my Malaysia, telah mengesahkan awal hari ini dalam catatan di Twitter bahawa pihaknya mengalami masalah teknikal dengan sistem DNS.

"Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan kepada pelanggan.

"Kami berusaha keras untuk menyelesaikan isu ini secepat mungkin. Maklumat lanjut akan dikeluarkan dari semasa ke semasa," katanya.

Lowyat.net memaklumkan MYNIC mempunyai masalah dengan penggodaman DNS dan 'keracunan' DNS pada masa lalu.

"Tanpa maklumat terperinci, kami tidak dapat menentukan sama ada ini hanya masalah yang tidak berbahaya bagi perkhidmatan itu atau jika ianya sesuatu yang lebih jahat," kata laporan itu.

Malaysiakini telah cuba menghubungi MYNIC untuk mendapatkan ulasan isu tersebut, jika ia telah diselesaikan dan mengenalpasti punca gangguan berkenaan.

Lihat Komen