malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'China, Singapura faham keputusan kaji semula ECRL, HSR'
Diterbitkan:  Jun 15, 2018 1:17 PM
Dikemaskini: 5:26 AM
ADS

Menteri Kewangan Lim Guan Eng meredakan kebimbangan mengenai hubungan tegang antara Malaysia dengan China dan Singapura, berkata beliau percaya kedua-dua negara memahami sebab-sebab Malaysia mengkaji semula perjanjian projek keretapi masing-masing.

Bercakap kepada Channel NewsAsia (CNA) dalam rancangan Coversation With, Lim berkata beliau yakin kedua-dua negara berkenaan memahami kerajaan baru berhadapan dengan hutang dan liabiliti terkumpul sebanyak RM1 trilion warisan daripada rejim sebelumnya, lantaran itu terpaksa menyemak semula projek-projek mega seperti projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dengan China dan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dengan Singapura.

"Kami yakin China memahami keadaan hutang kami dan mereka bersedia membantu kami, memberikan kami bantuan.

Kemungkinan tangguh, bincang

"Mengenai HSR, ia telah dibatalkan sekarang seperti yang diumumkan oleh PM tetapi pada masa akan datang, itu masih menjadi sesuatu yang kita ingin bincangkan dengan kerajaan ... Dalam erti kata itu, kita bercakap tentang kemungkinan menangguhkan dan berbincang dengan jiran kita yang baik di Singapura untuk melihat bagaimana mereka dapat membantu kami (penyelesaian) keadaan hutang ini," katanya kepada CNA.

Menteri kewangan menjelaskan Malaysia mungkin akan mempertimbangkan untuk menghidupkan semula projek HSR dalam setahun atau dua lagi, tetapi berkata beliau yakin Singapura menyedari keadaan kewangan Malaysia sekarang tidak membenarkan negara melaksanakan projek dengan belanja besar.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan kerajaan telah membatalkan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura, walaupun berisiko menanggung denda hampir RM 500 juta, menyatakan projek itu terlalu mahal dan tidak akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.

Keputusan itu didakwa mengejutkan Singapura. Mahathir juga menyatakan kerajaan mengkaji semula semua perjanjian perdagangan yang dibuat dengan China, termasuk kontrak ECRL bernilai RM60 bilion yang digambarkan sebagai "pelik".

Mengenai penjelasan tindakan kerajaan menyemak semula projek-projek berkenaan, Lim dijangka membincangkannya dalam lawatan ke dua buah negara itu tidak lama lagi.

Dlaporkan, Lim mengatakan selain ECRL, beliau juga akan membincangkan projek saluran paip gas kontroversi RM9.4 bilion dengan China serta hal-hal bilateral lain dalam lawatan sulungnya ke republik itu.

Bayar RM8.25 bilion, siap 13 peratus

Projek saluran paip gas merujuk kepada projek Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) yang dilaksanakan oleh Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER), yang disyaki bekait dengan syarikat pelaburan dana negara 1MDB yang bermasalah itu.

SSER ialah anak syarikat Kementerian Kewangan yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan pada tahun 2016 dengan tujuan khusus untuk membina dua projek saluran paip gas berkenaan.

Kontroversi timbul apabila kerajaan mendedahkan telah membayar RM8.25 bilion, atau 87.7 peratus daripada jumlah nilai projek, sedangkan kerja pembinaan yang telah dibuat hanyalah kira-kira 13 peratus .

Lihat Komen