malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Najib: Apakan daya, mungkin pengundi HARAPAN tertipu
Diterbitkan:  Jun 13, 2018 1:31 PM
Dikemaskini: 5:37 AM
ADS

Anggota Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak berkongsi rasa simpati terhadap nasib kakitangan awam bertaraf kontrak yang ditamatkan perkhidmatan oleh kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Bekas perdana menteri itu mendakwa situasi 17,000 kakitangan itu mungkin lebih baik sekiranya BN memenangi pilihan raya umum ke-14, lapor Berita Harian.

Ini ekoran satu tulisan seorang individu di Facebook yang mendakwa diberhentikan sebagai guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta menyesal mengundi HARAPAN.

"(Sebelum ini) mana dia (guru KAFA itu) pergi pun peniaga kata GST menyebabkan (harga) barang naik. Dia tidak sebut pun sebagai seorang guru KAFA, dia mendapat pembelaan daripada kerajaan (BN sebelum ini).

"Selepas 9 Mei dia mendapat penamatan sebagai guru KAFA pada awal Ramadan, bila dia tengok dua anak kecilnya... air matanya menitis kerana terbayang apa bakal terjadi kepada anaknya itu.

Menyesal selepas tiada

"Timbul kesedaran bahawa BN yang memberi pembelaan kepada guru Kafa. BN tidak tergamak memberhentikan 3,000 guru Kafa yang termasuk 17,000 kakitangan kontrak kerajaan," dakwa Najib yang dipetik sebagai berkata pada majlis berbuka puasa di Pekan, Pahang.

Sehubungan itu, Najib berkata masyakarat hanya menyesal terhadap sesuatu perkara apabila perkara itu telah tiada.

Justeru, beliau berkata mana-mana pengundi HARAPAN yang merasa tertipu ketika ini mungkin mengundi gabungan parti itu berdasarkan hasutan atau kempen kebencian tanpa melihat kebaikan yang BN lakukan sebelum ini.

"Apakan daya, mungkin mereka (pengundi) tertipu atau membuat satu pertimbangan berdasarkan kepada hasutan atau kempen kebencian tanpa melihat kepada kebaikan BN. Kebaikan kita, tidak nampak semasa itu, hanya sedar bila sudah tiada.

"Tetapi sebagai hamba Allah, kita kena terima dan terpaksa bina masa depan kita sebagai sebuah parti yang tiada kuasa kerajaan," ujarnya lagi.

Satu tulisan di Facebook yang menggunakan nama Ahmad Yusof mendakwa dirinya sebagai seorang guru KAFA dan pengundi HARAPAN telah diberhentikan kerja selepas Tun Dr Mahathir Mohamad umum untuk menamatkan 17,000 penjawat awam lantikan politik.

Menurut tulisan yang turut dikongsi Najib pada hantaran Facebooknya serta di Facebook Barisan Nasional, lelaki itu turut melahirkan rasa kesal kerana mudah termakan hasutan serta memohon maaf kerana menjatuhkan kerajaan BN yang selama ini menjaga kebajikan lelaki berkenaan serta anak-anaknya.

Malaysiakini bagaimanapun tidak dapat mengesahkan kesahihan tulisan Facebook berkenaan.

Lihat Komen