malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Salleh: Tetap setia walau kalah pilihan raya
Diterbitkan:  Jun 13, 2018 12:15 PM
Dikemaskini: 4:19 AM
ADS

Pengumuman parti-parti Sarawak semalam untuk meninggalkan BN menjadikan gabungan yang dahulunya sukar digugat kini tinggal empat parti komponen sahaja, daripada 13.

Bukan sekadar parti komponen, ada juga sejumlah ahli dan wakil rakyat Umno - tulang belakang BN - yang meninggalkan parti itu.

Ia terjadi tidak sampai sebulan semenjak PRU ke-14 kepada gabungan yang sudah wujud lebih empat dekad itu.

Bagi Datuk Seri Salleh Keruak, Umno Sabah akan tetap setia dengan parti itu dan akan terus berusaha menguatkan kembali kedudukannya.

"Umno Sabah menghormati keputusan parti-parti Sarawak untuk keluar BN, kita ucapkan selamat berjuang.

"Di Sabah, masih ramai ahli dan penyokong Umno yang masih setia dengan perjuangan...Kita tak akan tinggalkan parti hanya kerana gagal membentuk kerajaan," katanya yang juga timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah.

Katanya lagi, Umno Sabah tetap bersetiakawan dan akan tetap bersama-sama dalam usaha mengukuhkan parti itu sebagai alternatif kepada rakyat Malaysia.

Semalam, empat parti yang membentuk kerajaan negeri Sarawak - PBB, SUPP, PRS, PDP - mengumumkan keluar BN, seterusnya menjadikan negeri yang dikuasai BN hanya Perlis dan Pahang.

Sebelum ini, seorang ADUN Umno Perak dan tiga ADUN Umno Johor juga mengumumkan keluar parti untuk menyertai BERSATU iaitu parti serpihannya.

Salleh bagaimanapun berkata Umno tidak seharusnya memusuhi bekas anggota dan parti komponen yang mengambil langkah itu.

"Berbeza pendirian politik bukan kesalahan dan tak semestinya bermusuh.

"Ketika ini kita tumpu untuk menentukan proses pemilihan parti akan berjalan lancar," katanya yang juga bekas menteri Komunikasi dan Multimedia.
 

Lihat Komen