malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
HSR: Mungkin masa depan tapi bukan sekarang, kata PM
Diterbitkan:  Jun 12, 2018 1:50 PM
Dikemaskini: 5:55 AM
ADS

Buat masa ini projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) terlalu mahal, pendek dan mahal untuk Malaysia, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Justeru beliau berkata ia perlu ditangguhkan namun percaya perkhidmatan itu - yang meliputi seluruh semenanjung - akan diperlukan pada masa depan.

"Kereta api berkelajuan tinggi adalah paling efektif jika melibatkan jarak yang sangat jauh. Namun bagi jarak dekat, ia tidak terlalu menyumbang. Jadi kita perlu fikir semula (projek) kereta api berkelajuan tinggi.

"Kita tak boleh kata tidak akan ada keretapi berkelajuan tinggi di Malaysia. Apa yang kita boleh buat sekarang adalah tangguhkan projek itu kerana ia terlalu mahal buat masa ini," kata Mahathir kepada Nikkei Asian Review di Putrajaya, 8 Jun lalu.

Pentadbiran lalu merancang untuk membina 350km HSR dari Kuala Lumpur ke Singapura. Ia menjadi projek utama Bandar Malaysia - projek pembangunan 1MDB - dan dijangka memendekkan masa perjalanan dua kota itu kepada 90 minit.

Jepun telah menunjukkan minat tinggi untuk membida projek itu dan memperkenalkan teknologi "shinkansen" (kereta api peluru) ke rantau ini.

Bagaimanapun, antara perkara utama yang dilakukan pentadbiran Mahathir selepas menang PRU ke-14 adalah mengumumkan pembatalan projek itu atas sebab ia terlalu mahal dan tidak mapan.

Berhubung Proton, Mahathir berkata tidak kelihatan apa-apa rancangan untuk mengembangkan pasaran kereta itu ke China.

"Syarikat merasakan Malaysia hanya boleh mengeluarkan kereta dengan pemanduan kanan dan patut terhad di pasaran kereta seperti itu, bermakna kita tiada akses kepada pasaran besar di China.

"Ia akan mengehadkan perkembangan kita," katanya lagi.

Beliau berkata kerajaan kini sedang mengkaji untuk mewujudkan sebuah syarikat yang dapat mengeluarkan kereta yang mematuhi piawaian Euro-5 dan Euro-6 untuk mendapat akses pasaran dunia.

"Kita juga melihat kepada Jepun untuk kerjasama peringkat awal. Seperti kereta nasional pertama, yang hanya bermula dengan 18 peratus kandungan tempatan (dan kerjasama daripada) Mitsubishi Motor, kita kemudian mampu menguasai seluruh proses pembinaan kereta, daripada rekabentuk kepada model dan kereta pandu uji.

"Hari ini, teknologi moden lebih berasaskan sensor dan perkara lain. Kita juga perlu menguasainya tetapi pada peringkat awal kita hanya mahu membina kereta untuk pasaran tempatan, kemudian baru ke pasaran dunia," katanya lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen