malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Lebih 20,000 'pengundi hantu' di Kubang Kerian?
Diterbitkan:  Jun 11, 2018 12:13 PM
Dikemaskini: 4:23 AM
ADS

Berdasarkan warta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 28 Mei lalu, wujud lebihan 20,000 undi bagi parlimen Kubang Kerian pada pilihan raya umum ke-14 yang lalu.

Perkara itu sekali gus menimbulkan persoalan sama ada wujud kemungkinan kehadiran pengundi hantu, lapor Berita Harian.

Menurut akhbar harian itu, warta SPR yang dikeluarkan Pejabat Peguam Negara memaparkan parlimen Kubang Kerian terdiri daripada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu N17 Salor (27,164 pengundi) N18 Pasir Tumboh (26,257) dan N19 Demit (28,597).

Ia menjadikan jumlah keseluruhan pengundi di kawasan berkenaan sebanyak 82,018 pengundi.

Bagaimanapun pada hari membuang undi, jumlah kertas undi yang dikeluarkan untuk parlimen Kubang Kerian adalah sebanyak 84,867.

Jumlah itu berbeza dengan tiga DUN berkenaan iaitu hanya 64,861 kertas undi yang dikeluarkan pada hari pengundian.

Berdasarkan pecahan jumlah kertas undi yang dikeluarkan di tiga DUN itu, sebanyak 21,836 kertas undi dikeluarkan bagi DUN Salor, DUN Pasir Tumboh (20,709), dan DUN Demit (22,316).

Menurut akhbar berkenaan, setiap pengundi bagi kawasan DUN dan parlimen adalah orang yang sama dengan masing-masing akan menerima satu kertas undi untuk DUN dan satu lagi untuk parlimen.

Melihatkan kepada perbezaan angka tersebut sekaligus mencetuskan keraguan apabila keputusan diwartakan menunjukkan bilangan kertas undi yang dikeluarkan pada peringkat DUN berbeza dengan bilangan kertas undi di peringkat parlimen, menurut laporan itu lagi.

Sementara itu, dalam laporan sama, Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah enggan mengulas mengenai dakwaan itu dan memberitahu ia sedang dalam siasatan.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga dilapor menolak dakwaan terbabit dengan memberitahu bahawa 'hantu tidak mengundi PAS'. -Bernama

Lihat Komen