malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Anwar: Bukan muslim ada hak bahas undang-undang syariah
Diterbitkan:  Jun 10, 2018 2:50 PM
Dikemaskini: 12:07 PM
ADS

Bukan muslim di Malaysia mempunyai hak untuk membahaskan dan mempertimbangkan undang-undang yang dikenakan terhadap orang Islam.

Ini kerana, kata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, undang-undang berkenaan juga boleh memberi kesan kepada bukan muslim.

Dalam wawancara bersama The Star, Anwar merujuk contoh perbahasan berhubung usul meminda bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Kata Anwar, meskipun sesuatu undang-undang dilihat hanya dikenakan ke atas orang Islam, orang bukan Muslim juga boleh terkesan.

"Mereka (penyokong rang undang-undang itu) bercakap seakan-akan kita (rakyat Malaysia) semua orang Islam dan orang lain tak perlu peduli.

"Mereka (bukan muslim) mempunyai hak untuk peduli," katanya merujuk rang undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 yang diusulkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Sebarang perundangan, meskipun kelihatan hanya memberi kesan kepada orang Islam, tidak dapat tidak akan turut mempengaruhi orang bukan Islam, maka mereka ada hak untuk ikut serta," tambah Anwar.

Jelas Anwar yang mengambil maklum kebimbangan orang bukan Islam terhadap usul berkenaan, kebimbangan itu adalah dari bagaimana ia akan memberi kesan terhadap mereka.

"Mereka bimbang ia akan djadikan alat menceroboh kehidupan peribadi seseorang. Kita perlu mempertimbangkan isu ini," katanya dipetik sebagai berkata.

Anwar berkata, PKR menghormati hak Abdul Hadi sebagai anggota parlimen bagi membentangkan RUU itu, namun PKR menekankan bahawa anggota parlimen lain perlu diberi peluang untuk bahas, pinda atau menolak RUU berkenaan.

"Ini kerana apa yang dibentangkan bukan hudud, dan kedua, ia adalah terjemahannya (Abdul Hadi) sendiri," katanya.

Dalam wawancara itu, Anwar menggesa orang awam meneliti pendirian PKR berhubung RUU 355 dengan lebih dekat, yang terlah dikeluarkan dalam bentuk risalah bertajuk Pemerkasaan Perundangan Syariah di Malaysia yang dimuat naik di laman web parti itu.

"Kami bukan liberal yang menolak untuk melaksanakan prinsip Islam.

"Kami mewakili nurani Islam, namun kami tidak mewakili Islam konservatif model lama yang mahu memaksa orang lain menerima tafsiran tertentu," katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen