malaysiakini logo
ADS
story-image
mk-logo
News
Tingkatkan kualiti pelajar sebelum laksana meritokrasi
ADS

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) meminta kerajaan supaya meningkatkan kualiti pendidikan pelajar Bumiputera terlebih dahulu sebelum dasar meritokrasi dilakasanakan di seluruh institut pengajian tinggi (IPTA).

Memetik laporan akhbar baru-baru ini, kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan sistem merit di pusat pengajian tinggi seawalnya pada semester akan datang sebagai menguji tahap persaingan antara pelajar.

Pertubuhan itu, berpendapat negara belum bersedia melaksanakan sistem berasaskan merit kerana jurang sosio-ekonomi antara penduduk di bandar dan di luar bandar masih luas. Sebahagian besar pelajar Melayu tinggal di luar bandar, yang mempunyai daya saing lebih rendah berbanding pelajar bukan-Melayu yang tinggal di bandar. Persaiangan berasaskan meritokrasi hanya akan memberi kelebihan kepada pelajar bukan Melayu .

Justeru itu Abim kurang setuju sekiranya kerajaan membuat keputusan semata-mata atas dasar emosi dan amarah kerana "mahu mengajar pelajar Melayu yang tidak berterima kasih dan menentang kerajaan", menurut Timbalan Presiden Abim, Abdul Halim Ismail dalam kenyataannya kepada malaysiakini "Kerajaan sepatutnya terlebih dahulu membuat kajian mendalam tentang faktor sebenar kelemahan pelajar-pelajar Melayu di pusat-pusat pengajian dan bukan berdasarkan andaian-andaian," jelas Timbalan Presiden Abim.

Kemudahan yang sama

ADS

Beliau berpendapat meritokrasi hanya memberi faedah sekiranya pelajar-pelajar Melayu dan bukan Melayu berada di "padang permainan yang sama rata" iaitu memberi peluang dan kemudahan yang sama.

Katanya lagi, tambah buruk lagi, jurang yang wujud menyebabkan pelajar Melayu di luar bandar kurang dan tidak mampu mendapatkan faedah-faedah tambahan menerusi kelas-kelas tusyen atau bimbingan sebagaimana rakan mereka di bandar," tegas kenyataan itu.

Tambahan lagi peluang pendidikan pelajar Melayu dan bukan Melayu kini semakin jauh berikutan kemunculan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), yang 'tumbuh bagai cendawan selepas hujan'.

ADS

"Prasarana pendidikan yang setanding dengan apa yang terdapat di bandar perlu disediakan di samping memastikan bilangan guru-guru yang mencukupi dan terlatih," katanya.

Abdul Halim berkata meritokrasi tidak akan membawa perubahan kepada orang-orang Melayu, selagi usaha merapatkan jurang tersebut tidak dilakukan secara bersungguh-sungguh.

Justeru itu, tegasnya, kerajaan seharusnya memberi keutamaan memperkasa penduduk luar bandar dan pinggir bandar, supaya tidak tercetus rasa tidak puas hati di kalangan penduduk pelbagai kaum yang boleh mengancam kestabilan negara kelak.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.