malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Abang Jo bohong isu pemilikan minyak dan gas, dakwa DAP
Diterbitkan:  Jun 9, 2018 5:56 PM
Dikemaskini: 10:12 AM
ADS

Pemuda DAP Sarawak menolak dakwaan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Openg bahawa negeri itu akan mendapat kembali pemilikan dan kawalan sepenuhnya terhadap sumber minyak dan gasnya.

Setiausaha publisiti DAP Sarawak, Abdul Aziz Isa berkata ini berikutan Petronas mengemukakan permohonan di mahkamah pada Isnin untuk mendapatkan pengisytiharan menjadi pemilik eksklusif sumber petroleum dan pengatur industri di seluruh Malaysia, termasuk di Sarawak.

"Tanpa ragu-ragu, ini (permohonan undang-undang) membuktikan ketua menteri Sarawak secara terang-terangan berbohong kepada rakyat Sarawak apabila beliau mendakwa bahawa Sarawak akan mendapatkan hak untuk mengeksploitasi sumber minyak dan gas sepenuhnya dan sumber-sumber lain secara perlembagaan di bawah Senarai Negeri seperti Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan," dakwa Abdul Aziz.

Petronas dalam permohonannya di Mahkamah Persekutuan juga memohon pengisytiharan bahawa Akta Pembangunan Petroleum 1974 adalah undang-undang de facto yang mengawal industri.

"Dia (Abang Johari) tidak hanya berbohong sekali tetapi dua kali.

"Pembohongan kedua adalah apabila beliau mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersetuju memulangkan kuasa negeri terhadap sumber semula jadi termasuk minyak dan gas yang telah secara tidak sengaja terhakis sejak beberapa tahun lalu," kata Abdul Aziz (gambar) lagi.

Beliau menegaskan bahawa Najib gagal memenuhi janjinya sehingga pilihan raya umum ke-14 lalu.

Abdul Aziz, yang merupakan pembantu khas Anggota Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, berkata BN Sarawak perlu menolak pindaan peruntukan di bawah Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 yang memberikan Petronas hak eksklusif pemilikan minyak dan gas di Malaysia, katanya.

Beliau juga berkata langkah untuk meminda Seksyen 2 (1) dan Seksyen 6 (1) PDA dan memulihkan hak negeri terhadap sumbernya sepatutnya dilakukan ketika BN masih memegang kuasa persekutuan.

"Berdasarkan peruntukan PDA 1974, pemilikan dan kawalan muktamad industri minyak dan gas di Sarawak kekal dengan Petronas dan Perdana Menteri (sejak Petronas diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri)," kata Abdul Aziz.

"Jika Sarawak sudah memiliki pemilikan penuh terhadap sumber minyak dan gasnya, Sarawak tidak perlu menerima bayaran royalti lima peratus.

"Bagi pendapat saya, Abang Johari menghindari isu sebenar iaitu 'pemilikan' minyak dan gas yang terdapat di Sarawak," katanya lagi.

Permohonan Petronas di mahkamah hanya sebulan sebelum kerajaan Sarawak dijadualkan untuk mengambil alih kuasa pengawalseliaan sepenuhnya terhadap aspek industri huluan dan hiliran melalui Petroleum Sarawak Bhd (Petros).

Abang Johari telah mengumumkan rancangan untuk Petros sebelum pilihan raya 9 Mei.

Pada masa itu, beliau juga berkata Najib bersetuju untuk mengembalikan hak-hak minyak kepada kerajaan.

 

Lihat Komen