malaysiakini logo
story-image
ADS

Pemilihan Agung Umno 2018 dilihat menjadi titik tolak kepada harapan baru buat parti itu selepas kecundang dan kehilangan kuasa pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 sebulan lalu.

Tanpa kuasa - dan wang - untuk diburu seperti selalu sesetengah anggota parti berpendapat ini adalah waktu untuk pemimpin sebenar bangkit menawarkan diri untuk memulihkan Umno.

Bagi Timbalan Pengerusi Veteran Umno Kedah Datuk Mohd Hadzir Ismail watak yang menawarkan diri menjadi pemimpin parti perlulan seseorang yang benar-benar berani.

Lebih daripada itu Mohd Hadzir berkata mereka juga perlu memiliki semangat juang yang kental seperti pernah dimiliki pengasas Umno lebih separuh abad lalu.

“Dalam pemilihan kali ini, orang yang bertanding memang benar-benar ikhlas kerana sekarang Umno dah tak ada kuasa.

"Mereka boleh digambarkan seperti oranng yang membawa perjuangan Umno dulu-dulu.

“Kalau sebelum ni jawatan dalam Umno mereka boleh mengharapkan pulangan (kebendaan), kali ini mereka bertanding tanpa peluang mendapat ganjaran dalam kerajaan.

"Maknanya, pemimpin itu sendiri terpaksa mengorbankan wang ringgit dan masa untuk parti,” katanya kepada Malaysiakini.

Mohd Hadzir turut berkata barisan kepimpinan baru nanti juga perlu mengubah sikap kepada orang yang boleh ditegur jika membuat kesilapan.

Hanya kepentingan peribadi

Alasannya, sikap sebegitu sangat penting agar mereka tidak mengulangi kesilapan pernah dilakukan Datuk Seri Najib Razak.

“Pemimpin itu kena terbuka dan bercakap benar walaupun ia pahit. Macam Najib, boleh jadi kerana dia tidak (bercakap) benar tapi rakyat tahu semua.

“Semasa PRU, dia (Najib) harap sokongan ketua bahagian, tapi jumlah ketua bahagian pun tak sampai 300 orang. Seorang ketua bahagian boleh bagi satu undi saja sedangkan pengundi ada 14 juta. Sebab tu pemimpin Umno kena berubah,” katanya.

Ditanya mengenai keputusan Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak mahu bertanding apa-apa jawatan pada pemilihan kali ini, Hadzir berkata ia kemungkinan disebabkan sekarang Najib tiada lagi dalam barisan kepimpinan.

Untuk rekod selain mempunyai hubungan baik dengan Najib, pembangkang dari Pekan itu adalah sepupu kepada Hishammuddin.

Setiausaha Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Kedah itu juga turut menegur Putera dan Puteri Umno yang gagal menarik sokongan orang muda ke dalam parti itu, selain bertanding hanya untuk merebut jawatan bagi kepentingan peribadi.

Beliau juga berkata semua pihak wajar memberi sokongan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk membetulkan keadaan dan membina semula Umno.

Dalam pemilihan kali ini Zahid akan bertanding jawatan presiden manakala Datuk Seri Mohamad Hassan timbalan presiden.

Zahid dijangka bakal berdepan cabaran tokoh veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.

Terdapat tujuh nama bakal berentap bagi jawatan naib presiden iaitu Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin, Datuk Seri Ismail Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Bagi Penolong Setiausaha Pemuda Umno Pasir Gudang Noor Azleen Ambros pula dalam usaha membentuk Umno baru perwatakan seseorang pemimpin itu perlu berubah sesuai dengan perkembangan demokrasi pada hari ini.

Katanya, pemimpin yang dipilih perlu jujur, amanah dan terbuka untuk dikritik.

“Apa pun karakter Umno baru itu, ia mesti sesuai dengan demokrasi moden hari ini iaitu terbuka, kena telus.

"Apa yang nak dilakukan kena ada nilai integriti. Kalau ikut cara lama, tak buat terbuka dan orang di luar belum tentu boleh terima (tradisi begitu),” katanya.

Untuk saingi tokoh kerajaan

Noor Azleen yang akan bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda Umno Pasir Gudang juga melihat, pemilihan kali ini sangat penting bagi menghantar mesej kepada rakyat mengenai hala tuju parti itu.

“Kalau tanya saya, secara peribadi pemilihan ini kena dapat hantar mesej jelas kepada rakyat yang Umno akan bangkit semula.

“Apa yang berlaku sebelum ini ada hikmah, dan peluang untuk Umno di bangun semula.

"Di peringkat pemuda kita akan bantu tarik balik sokongan rakyat dan kita harap dalam Umno ada cerdik pandai, cendekiawan, profesional, ilmuwan,” katanya.

Ditanya siapa yang paling layak menjadi presiden Umno, Noor Azleen berkata calon paling berpotensi menjadi presiden ialah Tengku Razaleigh.

Katanya anggota parlimen Gua Musang itu paling layak menduduki jawatan nombor satu parti bagi mengimbangi parti pemerintah.

Katanya, perkara itu perlu dilihat berdasarkan populariti yang ada dalam kerajaan termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kalau tanya saya, kenalah Tengku Razaleigh untuk mengimbangi aura mereka,” katanya.

Korban diri, masa dan wang

Sementara itu Ketua Bahagian Ampang Datuk Ismail Kijo berkata dalam mencorak Umno baru, pemimpin yang dipilih perlu terbuka dan menerima teguran yang diberikan.

Selain itu katanya pemimpin tidak hanya boleh memikirkan dirinya sendiri sebaliknya mengutamakan ‘kapal' yang mereka kemudikan.

“Kalau pemimpin silap, mereka kena betulkan lepas ditegur. Pemimpin kena berfikiran terbuka. Pemimpin di bahagian lain pula jangan nak membodek tapi mesti jujur,” katanya.

Terdahulu Ismail ditanya mengenai teguran pernah dibuat Khairy Jamaluddin dan Tajuddin mengenai derma RM2.6 bilion dalam akaun Najib.

Mengulas lanjut Ismail turut melihat tugas seseorang pemimpin Umno selepas PRU ke-14 perlu menyerahkan diri kepada parti dari segi masa, tenaga dan kewangan.

“Soalnya bagaimana nak lahirkan pemimpin itu sanggup bergadai, dalam keadaan Umno tak kuat kewangan, pemimpin kena korban harta dia macam Umno dulu,” katanya.

Anggota Jawatankuasa Umno Sembrong Norzaman Hassan pula berpendapat kuasa terbesar dalam Umno kini terletak pada akar umbi.

“Kita tengok siapa yang tawar diri, dia mesti sanggup berkhidmat. Apa yang penting akar umbi akan melihat kesesuaian dulu. Mereka akan buat keputusan secara rasional.

"Sekarang ini yang penting akar umbi dan akar umbi akan pimpin pucuk pimpinan,” katanya.

Buat apa bertanding

Ditanya bentuk kuasa yang ada pada akar umbi Norzaman berkata pihaknya akan berbincang di peringkat cawangan dan bahagian berkaitan sesuatu perkara, membuat usul dan menyerahkannya kepada pucuk pimpinan untuk diteliti.

Namun tidak semua orang bersetuju pemilihan kali ini diadakan bagi menggantikan pemimpin sedia ada.

Naib Ketua Umno Segambut Datuk Bahtiar Adnan berkata pemilihan parti tidak seharusnya diadakan pada waktu sekarang.

Sebaliknya, kata Bahtiar anggota parti perlu mencari penyelesaian melalui perbincangan bagi memilih kepimpinan baru.

“Sekarang bukan musim merebut jawatan, sekarang musim kena bersatu, tak payah ada pemilihan. Kita pakat-pakat bincang saja siapa yang patut pergi (jadi pemimpin).

“Kita nak berebut-rebut ini untuk apa sebenarnya? Kalau pasal kuasa, kita pun dah tak ada. Jadi kita duduk pakat-pakat, bincang elok-elok, sokong sahaja bagi kuat balik parti.

“Kita pakat bincang dan calonkan seorang sahaja, habis. Sebelum itu kita bincanglah siapa nak jadi presiden, timbalan presiden, yang ramai-ramai nak pergi bertanding ni untuk apa sebenarnya?

“Kalau dia buat pendaftaran secara dalam talian, entah siapa-siapa yang gatal nak bertanding.

"Bertanding suka-suka buang masa, bincang sajalah elok-elok,” katanya.

Bahtiar berkata, beliau sudah memaklumkan kepada Zahid dan Hishammuddin berhubung cadangannya namun, terdapat pihak luar yang mahukan pemilihan parti dan juga kepimpinan orang muda.

“Kalau orang muda tak boleh deliver pun tak boleh buat apa, sama sahaja,” katanya.

Lihat Komen