malaysiakini logo
story-image
ADS

Pengasas Alibaba, Jack Ma masih belum disahkan bakal bertemu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir, kata seorang jurucakap Pejabat Perdana Menteri (PMO).

"Belum ada pengesahan mengenai Jack Ma akan bertemu Tun (Mahathir)," kata jurucakap PMO kepada Malaysiakini dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

Beliau berkata beliau tidak tahu tujuan media melaporkan berita mengenai Ma bertemu Mahathir bulan ini.

"Saya tidak tahu, mungkin mereka teruja, tetapi tidak ada pada jadual Tun (Mahathir)," katanya.

Sementara itu, Ahli Tertinggi BERSATU Datuk A Kadir Jasin berkata beliau tidak tahu jika Ma telah meminta temujanji bersama perdana menteri.

Bagaimanapun, beliau berkata Ma telah bertemu dengan Mahathir sebelum pilihan raya umum 9 Mei.

Pada 23 Mei, akhbar perniagaan Nanyang Siang Pau melaporkan suatu pertemuan akan berlangsung di Putrajaya tidak lama lagi.

Ini berlaku selepas Putrajaya mengumumkan mengkaji semula projek mega di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Namun, Ma dilaporkan The Malaysian Insight hari ini akan datang ke Malaysia dalam usaha untuk menyelamatkan projeknya, zon perdagangan bebas digital (DFTZ).

Manakala itu, sumber memberitahu Ma mahu bertemu Mahathir sejak dua minggu lalu tetapi perdana menteri sibuk dengan rumah tangga berikutan kemenangan HARAPAN dalam pilihan raya umum, kata sumber.

Sumber berkata jika pertemuan itu berlaku, ia mungkin diadakan selepas lawatan Mahathir ke Jepun bagi persidangan Nikkei dari 10 hingga 12 Jun.

Laporan media itu mendakwa seorang ahli perniagaan tempatan telah membantu mengatur pertemuan atas permintaan Ma.

DFTZ adalah zon perdagangan khas pertama di dunia yang akan menggalakkan pertumbuhan e-dagang dengan menyediakan platform terkini untuk perusahaan kecil sederhana (PKS) dan syarikat untuk menjalankan perniagaan dan perkhidmatan.

DFTZ terdiri daripada tiga komponen utama yang menggabungkan zon fizikal dan maya. Dua projek pertama iaitu hub logistik e-pemenuhan dan platform e-perkhidmatan akan dijalankan dengan kerjasama Alibaba, lapor The Edge.

Ma ialah pengasas gergasi e-dagang China, Alibaba.

Lihat Komen