malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Salahuddin ikrar penjawat awam tak dijadikan hamba politik
ADS

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub memberi jaminan kakitangan kementeriannya tidak akan dilibatkan dalam soal politik.

Sebaliknya beliau berkata mereka akan diberi kebebasan untuk melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.

"Saya mahu pegawai kerajaan diangkat kembali martabat mereka, diberi kebebasan untuk melaksanakan tugas. Saya akan pastikan tidakakan berlaku campur tangan politik yang melampau, yang merendahkan martabat pegawai kerajaan.

"InsyaAllah tidak akan ada pegawai kerajaan diabdikan (untuk politik)...Perkara itu tak akan berlaku di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani," katanya ketika berucap dalam program dialog bersama pesawah di Kota Bharu, Kelantan, hari ini.

Ketika pentadbiran BN, memang timbul persepsi penjawat awam yang menyalahgunakan kedudukan untuk kelebihan parti pemerintah itu, malah ada juga yang dikerah berkempen ketika pilihan raya umum.

Pada 1 Jun lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan kesetiaan sejumlah penjawat awam terhadap kerajaan memerintah, terutama mereka yang secara terbuka berkempen untuk BN pada PRU lalu.

Malah soal kerjasama penjawat awam dengan kerajaan juga merupakan perkara yang disentuh Mahathir ketika berucap dalam perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri pertamanya, 21 Mei lalu.

Salahuddin yang juga Timbalan Presiden AMANAH berharap pemisahan dengan politik itu akan membolehkan penjawat awam menjalankan tugas dengan lebih berkesan.

"Tak payahlah tolong saya dengan memakai baju parti. Kalau saya ceramah politik pada waktu malam tak payah ikut, nak sokong pun sokonglah diam-diam. Masa mengundi pangkahlah parti mana yang kita nak.

"Pada masa sama kita bekerja atas nama kementerian. Ini duit gaji yang kita makan dan suap ke dalam mulut anak isteri atas kapasiti itu (penjawat awam)," katanya lagi.
 

Lihat Komen