malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Kerajaan beri peruntukan RM100,000 kepada pembangkang
ADS

Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) akan memberi peruntukan kepada anggota Parlimen pembangkang dalam memastikan rakyat di kawasan tersebut tidak dipinggirkan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat kabinet buat kali ketiga hari ini.

Bagaimanapun, Mahathir berkata jumlah peruntukan itu sedikit berbeza daripada pusat.

"Kita akan tetap bagi peruntukan kepada mereka tapi kurang sikitlah. RM500,000 untuk kita dan RM100,000 kepada mereka,” katanya.

Ini kali pertama anggota Parlimen pembangkang diberi peruntukan. Sebelum ini, kerajaan BN hanya memperuntukkan dana untuk wakil rakyatnya sedangkan pembangkang tidak menerima sebarang bayaran.

Pada sidang media itu, Dr Mahathir juga mengumumkan peruntukan RM200,000 untuk Pusat Khidmat Anggota Parlimen yang akan disalurkan sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Dr Mahathir turut mengumumkan skim kawalan harga musim perayaan Aidilfitri 2018 akan dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) terhadap 22 jenis barangan kawalan bermula 8 sehingga 22 Jun.

Perdana menteri dalam pada itu memaklumkan beliau akan melakukan lawatan kerja ke Tokyo, Jepun pada 10 hingga 12 Jun ini bagi menghadiri persidangan antarabangsa Future of Asia ke-24 dengan ditemani isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Katanya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara pula akan mengetuai delegasi Malaysia ke beberapa mesyuarat antarabangsa berkaitan bencana antaranya mesyuarat Jawatankuasa ASEAN bagi Pengurusan Bencana di Kuala Lumpur pada 26 hingga 28 Jun ini.

Selain itu, katanya Kementerian Kesihatan akan menganjurkan Sidang Kemuncak Denggi Asia kali ke-3 di Kuala Lumpur pada 5 dan 6 Julai dan Sambutan Hari Denggi ASEAN di Selangor pada 7 Julai ini.

 

Lihat Komen