malaysiakini logo
ADS
story-image
ADS

Pejabat pemasaran Harakah di Kuala Lumpur digeledah oleh sekumpulan pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis dengan tujuan merampas cakera padat video (VCD) politik yang diedarkan PAS.

Pegawai pemasaran akhbar itu, Abd Habib Abd Hamid memberitahu malaysiakini, lebih 20 orang kakitangan dua pihak berkuasa itu menyerbu pejabat yang beralamat di No 28, Jalan Pahang Barat, Off Jalan Pahang kira-kira jam 3 petang tadi.

Bagaimanapun tiada rampasan dibuat kerana tiada VCD berkenaan dijual di situ.

"Mereka tidak menunjukkan waran geledah," katanya.

Turut berada di pejabat pemasaran itu, aktivis Pemuda PAS, yang juga peguam, Haniffa Maidin dan penyunting Harakah , Syed Putra Syed Ahmad.

ADS

KDN kemudiannya memberi amaran supaya pejabat tersebut tidak lagi mengiklankan jualan VCD tersebut di akhbar parti itu.

Dalam iklannya, Jabatan Penerangan PAS menyediakan khidmat edaran secara pos kepada ahli-ahli parti itu VCD ceramah pemimpin-pemimpinnya dengan judul-judul seperti Ceramah Perdana Muktamar ke-47 (disampaikan oleh Mursyidul Am, Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Datuk Fadzil Noor), Ucapan Dasar Presiden Muktamar ke-47 (Fadzil Noor), Ucapan Perasmian Pemuda PAS ke-42 (Abdul Hadi Awang) dan Ucapan Dasar Ketua Pemuda ke 42 (Mahfuz Omar).

Sementara VCD berbentuk dokumentari yang diedarkan termasuk Perjuangan Umat Islam di Acheh dan Ambon (Indonesia), Jihad Diponegoro (pergaduhan agama di Ambon, Indonesia), Duka Saparua (Ambon), Jumaat Berdarah di Masjid Hebron (Israel), Rindu Seorang Anak (suasana pengkebumian ibu Anwar Ibrahim) dan Di Sebalik Tabir: Biogram Nik Abdul Aziz .

ADS

Fitnah pemimpin pembangkang

Judul-judul lain termasuklah Puteri Umno (Muhamad Sabu), Siri Motivasi: Ibubapa Cemerlang (Dr Hassan Ali), Lubang Umno Semakin Dalam (ceramah PAS di Parit Sulong, Johor) dan Debat Umno-PAS: Satu Percubaan Umno .

Pada 5 Ogos, operasi merampas kaset dan VCD politik dijalankan di sekitar pejabat Perhubungan PAS Kelantan, Kota Bharu, selain beberapa akhbar politik, termasuk Harakah dan akhbar rasmi kerajaan negeri Warkah Darulnaim .

Menurut laporan Harakahdaily.com , seorang kakitangan pejabat itu Roslan Mohd Zain ditahan polis selama beberapa jam ketika beliau cuba mempertahankan peniaga-peniaga yang terbabit dengan rampasan itu.

Kerajaan sejak minggu lalu meluaskan larangan pengedaran VCD berunsur politik selepas penguatkuasaan larangan penjualan di kawasan terbuka bahan-bahan berkenaan.

Sekatan itu dilaporkan dibuat kerana pembikinan VCD jenis itu tidak diberikan lesen mengikut Akta Cakera Optik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, dan juga tidak melalui proses penapisan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Chor Chee Heung, VCD ceramah politik bukan setakat dicetak rompak, malah mengandungi fitnah dan pembohongan pemimpin parti pembangkang.

"Beberapa serbuan dilakukan terhadap peniaga VCD ceramah parti pembangkang di Kuala Lumpur. Saya turut diberikan beberapa VCD ceramah pemimpin parti pembangkang untuk saya tonton," katanya Sabtu lalu.

Katanya lagi, ceramah itu mengandungi bermacam-macam pembohongan yang boleh menyebabkan wujudnya keadaan tidak tenteram di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Seorang kakitangan Harakah , yang tidak mahu dikenali, hari ini memberitahu serbuan juga dijalankan di beberapa negeri utara Semenanjung dalam usaha kerajaan membanteras VCD politik.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.