Kerajaan tidak menghalang video cakera padat (VCD) yang berunsur ilmiah tetapi akan memantau bahan-bahan visual yang "boleh menimbulkan huru-hara," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin.
"VCD ceramah (pembangkang) serupa juga dengan VCD lucah yang boleh menimbulkan huru-hara," katanya selepas menyampaikan anugerah perkhidmatan cemerlang di kompleks Tabung Haji pagi ini.
Abdul Hamid berkata bahan-bahan terbitan yang mengandungi pengetahuan seperti panduan mengerjakan sembahyang boleh diedarkan kepada orang ramai.
"VCD yang bukan berdasarkan disiplin ilmu hanya hendak menimbulkan kekecohan, perbalahan," katanya, mengulas VCD yang memuatkan ceramah-ceramah pemimpin pembangkang yang mengkritik pemimpin tertentu kerajaan.
Kata Abdul Hamid, kementeriannya akan terus membantu usaha memantau pengedaran VCD ceramah politik walau penguatkuasaannya terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri.
Dalam ucapan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Anugerah Perkhidmatan Lama kepada kakitangan Lembaga Urusan Tabung Haji (Luth) sebelum itu, Abdul Hamid berkata negara-negara Barat tidak senang dengan kecenderungan umat Islam untuk kembali menghayati Islam.
"Cuma ramai yang tidak senang terutama musuh-musuh Islam itu sendiri," katanya, sambil memetik kata-kata bekas Presiden Amerika Syarikat Richard Nixon yang pernah menyebut "jangan lepaskan peluang, musuh kita hanyalah Islam."
Tambahnya, Barat meneliti perkembangan negara ini kerana "(Malaysia) tidak bercakap kosong mengenai Islam... ada prasarana, produk-produk institusi kewangan yang bersedia dengan agenda-agenda, rancangan mengukuhkan ekonomi."
Pada majlis itu, Abdul Hamid menyampaikan tujuh anugerah cemerlang tahun 2000 kepada kakitangan Luth dari seluruh negara. Anugerah itu yang diperkenalkan sejak 1983 turut memberi penghargaan kepada 48 kakitangan dalam kategori anugerah perkhidmatan lama.
Abdul Hamid turut mengumumkan pelantikan semula Tan Sri Zainol Mahmud sebagai pengerusi badan itu berkuatkuasa Selasa lepas. Zainol dijangka akan memegang jawatan tersebut selama dua tahun.