malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

PULASAN | Sakit dan gembira. Kedua-duanya adalah nikmat yang diberikan Allah kepada manusia yang dikehendaki-Nya. Pada masa tertentu sakit itu - walaupun menyulitkan - akan menjadi penawar bagi kerumitan akan datang.

Pada ketika lain kegembiraan itu hadir melalui peristiwa-peristiwa lucu yang tak terjangkakan. Ia kadang-kadang menjadi detik untuk manusia menarik nafas lega selepas bergelut dengan kesulitan.

Pada waktu yang langka, sakit dan lucu itu hadir serentak - seperti kepingan-kepingan wang syiling yang sesekali menghasilkan bunyi di dalam poket hampir kosong kita sekarang.

Itu juga nikmat. Kita tidak perlukan penjelasan Immanuel Kant, Sigmund Freud atau Ibn Rushd untuk memahami hakikat itu. Jika kamu kebetulan belajar mengenai pemikiran mereka, gunakan saja hujah-hujah berkenaan untuk menarik kagum kawan-kawan di meja minum.

Sakit dan lucu adalah nikmat. Ia semudah itu.

Jadi apabila Umno kalah dalam pilihan raya umum (PRU) baru-baru ini, sepatutnya ia juga nikmat. Ia nikmat kepada rakyat Malaysia, dan kira-kira, nikmat juga buat parti berkenaan.

Lucu pun muncul

Umno sedang sakit sekarang. Ia sedang meraba-raba mencari jalan untuk meneruskan hayatnya. Paling penting parti itu perlu mencari sebab paling kukuh untuk membuktikan ia masih relevan dan diperlukan di negara tercinta ini.

Salah satu masalah utama Umno ialah kepemimpinan. Bukan Umno tidak ada pemimpin. Ada, cuma pemimpin yang pernah ada itu sakit.

Lebih parah dia menyebabkan parti itu jatuh lebih sakit. Mujur juga buat Umno apabila pemimpin terbabit tidak lagi memimpin.

Nah, di situ muncul unsur lucunya. Syahdan berebut-rebut orang Umno menuntut agar parti itu tidak lagi mengekang pertandingan dalam parti.

Kata pencinta Umno, semua jawatan - dari yang paling tinggi hingga yang terendah - wajib dibiarkan ada pertandingan.

Memang sebelum itu ada bekas pemimpin dari Melaka mencadangkan agar tiga jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan. Itu adalah antara kelucuan awal pascapilihan raya yang baru berlalu.

Apabila kenyataan itu dibentak dengan garang oleh pemimpin lain - ketua pemuda misalnya - ia menjadi lucu yang lebih menghiburkan.

Maka selepas ketua orang muda Umno bersuara, berlumba-lumba pula pemimpin lain bersependapat dengannya. Mereka mahu tiada kekangan dibuat oleh parti sehingga menyekat pertandingan dalam Umno diadakan.

Alasan persaingan akan menyebabkan perpecahan sudah tidak relevan sama sekali walaupun suatu ketika dulu ia adalah mantera paling lazim diungkapkan oleh sesiapa saja yang tidak suka kedudukannya dicabar.

Tiga belas hari selepas Umno terduduk kerana ditolak pengundi, majlis tertinggi (MT) parti berkenaan memutuskan bahawa semua jawatan - termasuk presiden, timbalan dan naib - dipertandingkan.

Muncul satu demi satu

Tidak dapat dibayangkan bagaimana perasaan bekas orang besar Umno Melaka dengan ketetapan berkenaan. Namun ia tidaklah lucu sangat.

Dengan ketetapan MT Umno tersebut, maka berlumba-lumbalah pemimpin parti yang sedang sakit itu menampakkan semangat mahu bertanding.

Ada antara mereka ialah orang yang terselamat dalam PRU ke-14 lalu, tetapi ada juga yang sudah ditolak pengundi dari kerusi parlimen atau dewan undangan negeri tampil mahu menyelamatkan parti mereka.

Di celah-celah itu ialah tokoh yang terselamat di kerusi yang disandang namun negeri mereka tumbang kepada Pakatan Harapan.

Adakah ia kelucuan daripada sakitnya Umno? Sedikit, adalah juga, namun untuk meraikan hak masing-masing untuk menyertai demokrasi kita wajar mengalu-alukan mereka bersaing dalam pemilihan parti.

Lalu apa lagi lucu daripada Umno yang sakit itu?

Ketika ditegaskan tiada larangan untuk bertanding pada kali ini, calon yang membuat propaganda dengan menyatakan hajat bertanding bagi "jawatan tertinggi" didapati akhirnya memahami makna "tertinggi" itu sekadar posisi naib presiden.

Adakah naib presiden itu "tinggi"? Ya, tetapi itu bukanlah yang tertinggi. Setakat ini untuk jawatan tertinggi Umno hanya ada satu nama tercatat sebagai pencabar. Dan nama itu langsung tidak mengejutkan.

Jika ditakdirkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bertanding untuk pemeriksa kira-kira, barulah mengejutkan. Melihat anggota parlimen Bagan Datuk itu menawarkan diri menjadi presiden adalah klise yang membosankan.

Begitu juga dengan jawatan timbalan presiden. Siapakah lagi yang berani menawarkan diri untuk membolehkan wujud pertandingan seperti yang diingini bagi merawat sakit ditanggung Umno sekarang?

Tak ada yang segar

Dalam keadaan begitu fahamlah kita bahawa yang menghalang anggota Umno bertanding bagi sesuatu jawatan dalam parti bukanlah sangat kerana adanya arahan atau kehendak pimpinan, sebaliknya ketakutan untuk mencabar yang berakar umbi dalam kepala masing-masing.

Bukannya tidak ada tokoh yang layak bertanding mencabar Ahmad Zahid. Patutnya ramai. Antara yang disebut-sebut ialah orang kuat Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed. Jika tidak cukup, dari Tanah Serendah Sekebun Bunga itu juga ada Tengku Razaleigh Hamzah yang turut membuat orang PAS kagum kepada bakat dan gayanya.

Cuma itulah, lucu juga untuk melihat orang Umno merawat sakit parti mereka dengan tokoh yang veteran begitu. Seolah-olah langsung tidak ada watak baru, muda dan segar dapat diasuh dalam parti berkenaan.

Selain itu Umno boleh juga menyandarkan harapan kepada Datuk Seri Shahidan Kassim yang berjaya menggabungkan - dan menonjolkan - bakatnya sebagai pemimpin yang ranggi sekali gus tawaduk serta zuhud itu.

Tidak ketinggalan dari Negeri Di Bawah Bayu ada Tan Sri Musa Aman yang licik dan tangkas dalam sifir politiknya. Ia adalah ciri yang boleh dimanfaatkan oleh anggota Umno untuk berperanan sebagai parti pembangkang.

Dan ya, belum sampai waktu untuk Datuk Seri Jamal Md Yunos menjadi timbalan presiden Umno. Buat permulaan biarlah beliau bermula sebagai ketua pemuda dan memainkan peranannya sebagai sayap pendesak.

Selama ini pun Jamal sudah memainkan peranannya dengan baik sebagai pendesak sehingga pada ketika tertentu kita dapat melihat beliau sebagai benar-benar terdesak.

Kenyataan itu sama sekali tidak menafikan wibawa seorang lagi calon ketua pemuda iaitu Azwan Bro. Dengan pengalamannya bersama Pemuda Umno selama ini, selain asuhan ketuanya Khairy Jamaluddin Abu Bakar, tentu banyak yang boleh dilakukan beliau dalam sayap parti.

Ada masalah kerana jawatan ketua hanya ada satu? Bertenanglah. Pemuda Umno boleh memikirkan penyelesaian di luar kotak. Mereka boleh mengambil ibrah daripada tradisi persatuan penulis.

Jika Jamal akhirnya nanti menang dalam pemilihan, lihat dulu undi yang diperolehi Azwan Bro. Kalau jumlahnya signifikan, lebih mudah.

Pasrah pada nasib

Nobatkan Jamal sebagai ketua satu, dan Azwan Bro ketua dua Pemuda Umno. Kedua-dua mereka adalah ketua. Pedulilah apa orang nak kata, dan lantaklah kalau pergerakan itu tidak ada naib ketua.

Jika persatuan penulis boleh, mengapa Pemuda Umno tidak boleh, kan?

Apa pun kita berharap Umno dapat merealisasikan amalan bertanding bagi semua jawatan tertinggi parti itu. Ia adalah keperluan yang sangat asas dalam usaha mereka membuktikan bahawa parti berkenaan sedang dalam proses kebah daripada sakit.

Kegagalan mempertandingkan semua jawatan dalam parti hanya akan mengesahkan bahawa Umno sedang sakit tenat. Dalam keadaan begitu mereka tidak banyak pilihan.

Pertama: berserah, pasrah dan berhiba-hibaan seperti dicadangkan Aiman Tino:

Menghitung menunggu mati
Agar kau jumpa yang dinanti
Semoga pemergianku ini
Terbaik untukmu...

Kedua: beranikah hati untuk berubat. Setiap penyakit - kecuali tua dan mati - memang ditakdirkan ada ubatnya. 

Jalannya sudah ditunjukkan oleh pemimpin ulung ulama dunia yang disegani, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam ketika beliau berkunjung bertemu mata dengan doktor yang dicadangkannya sendiri supaya menjaga Klinik 1Malaysia.

Tidak dapat dipastikan apa 'sakit' yang dihadapi PAS sehingga mereka terpaksa bertamu ke pejabat doktor berkenaan, namun ia adalah ibrah buat Umno juga.

Mungkin ada kaitan dengan masalah "cirit-birit" seperti dinukilkan Abdul Hadi sebelum ini.

Itulah sebahagian daripada nikmat lucu daripada sakit yang dialami serentak tadi.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang belum pernah berkunjung atau mendapatkan rawatan di Klinik 1Malaysia setakat ini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen