malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pulau Batu Puteh: Kerajaan silap besar tarik balik rayuan, kata MP
Diterbitkan:  Jun 4, 2018 5:07 PM
Dikemaskini: 10:00 AM
ADS

Anggota Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim menggesa kerajaan meneruskan rayuan kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Beliau yang juga pengerusi PKR Johor menyuarakan sentimen sama seperti bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa pulau itu adalah hak Johor dan Malaysia yang berdaulat.

"Keputusan Perdana Menteri baru-baru ini untuk menarik balik rayuan itu adalah kesilapan besar. Perbicaraan perlu diteruskan kerana kini terdapat bukti-bukti baru.

"Saya meminta kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan rayuan kes itu di ICJ," katanya dalam kenyataan.

Katanya, isu itu tidak boleh dikompromi kerana ia berkenaan kedaulatan negara.

Menurut Bernama 30 Mei lalu, Kementerian Luar Singapura berkata ICJ telah memaklumkan kepada kerajaan negara itu bahawa prosiding yang dikemukakan Malaysia berhubung penghakiman asal pada 2008 membabitkan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, tidak akan diteruskan.

Menurut laporan itu, kementerian itu berkata Malaysia telah memaklumkan perkara itu kepada ICJ pada 28 Mei lalu.

Terdahulu, Khaled yang juga Pengerusi BN Johor mendesak kerajaan negeri menyatakan pendirian tentang keputusan itu.

Beliau mempersoalkan keputusan itu yang disifatkan tidak disertai sebab yang kukuh dan diputuskan ketika peguam negara bercuti.

Sementara itu, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong (gambar) menggesa kerajaan mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjawab persoalan yang timbul berikutan keputusan itu.

Beliau berkata antara soalan berbangkit adalah faktor yang membawa kepada peutusan itu dan mengapa bukti-baru baru - tiga dokumen sejarah di Arkib Negara United Kingdom - seperti yang dinyatakan Pejabat Peguam Negara pada 2017 diketepikan begitu saja.

"Kebanyakan berita yang dilaporkan media tempatan dipetik daripada kenyataan Kementerian Luar Singapura. Kerajan baru setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan.

"walaupun Menteri Luar belum dilantik, kedaulatan tanah air adalah perkara amat mustahak. Justeru kerajaan sepatutnya tidak terus berdiam diri," katanya yang juga Anggota Parlimen Ayer Hitam.

Lihat Komen