malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Kes Najib: Saya serah kepada pihak berkuasa, kata Muhyiddin
Diterbitkan:  Jun 4, 2018 1:56 PM
Dikemaskini: 7:12 AM
ADS

Terserah kepada pihak berkuasa yang dibentuk kerajaan untuk mendakwa atau untuk menangkap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjawab soalan pemberita.

"Itu belum lagi. Itu saya serah kepada pihak berkuasa yang telah dibentuk.

"Baik pasukan petugas ataupun team yang telah ditubuhkan oleh kerajaan.

"Mereka diberikan sepenuh kuasa untuk menentukan apa langkah-langkah yang wajar diambil dari sudut undang-undang untuk menangani kes-kes yang berkaitan skandal-skandal baik 1MDB, SRC dan sebagainya," kata beliau pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Soal-siasat SPRM

Pada 24 Mei lalu, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menghabiskan kira-kira tujuh jam di bangunan ibu pejabat SPRM di Putrajaya, yang mana beliau disoal-siasat mengenai isu syarikat SRC International.

Soal-siasat itu berlangsung sekitar enam jam dengan Najib diberikan 40 minit waktu rehat.

SPRM menyoal-siasat Najib kira-kira lima jam berkaitan perpindahan RM42 juta daripada SRC ke akaun peribadi beliau.

Sesi soal-siasat pertama itu berlangsung di tengah-tengah serbuan ke premis berkaitan Najib dan merampas RM120 juta wang tunai dan barangan kemas serta lainnya yang bernilai RM200 juta.

Ketika itu timbul desas-desus Najib akan ditangkap.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau menyerahkan kepada jawatankuasa dan pasukan khas berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang ditubuhkan kerajaan untuk mengambil langkah sewajarnya dalam siasatan berkaitan syarikat pelaburan strategik itu.

“Mereka telah diberi sepenuh kuasa untuk menentukan langkah-langkah yang wajar diambil dari sudut undang-undang untuk menangani skandal mengenai 1MDB,” katanya pada sidang media selepas melawat ibu pejabat polis Bukit Aman di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau ditanya mengenai kemungkinan tangkapan dan pendakwaan terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang dikaitkan dengan skandal itu.

Pada 22 dan 24 Mei lepas, Najib hadir ke ibu pejabat SPRM bagi membantu siasatan berkaitan SRC International Sdn Bhd, anak syarikat 1MDB sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012. 

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata beliau menjangka pertuduhan akan dikenakan terhadap Najib susulan penyiasatan terhadap dakwaan bahawa bekas perdana menteri itu menyeleweng beratus juta dolar Amerika daripada dana 1MDB.

Pasukan khas 1MDB itu diwujudkan oleh Pejabat Perdana Menteri manakala jawatankuasa 1MDB itu pula ditubuhkan di bawah Majlis Penasihat Kerajaan.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata satu jawatankuasa khas bagi menangani isu penduduk negara ini yang mengalami masalah kerakyatan telah ditubuhkan dengan dipengerusikan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan.

Beliau berkata penubuhan jawatankuasa itu mendapat persetujuan barisan pemimpin HARAPAN yang bermesyuarat lebih seminggu lalu.

 

Lihat Komen