malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Anwar tak jadi jumpa wakil rakyat PKR di rumah TPM
Diterbitkan:  Jun 3, 2018 5:09 PM
Dikemaskini: 10:56 AM
ADS

Beberapa jam selepas mendapat teguran awam, PKR hari ini mengubah lokasi pertemuan ketua umum parti itu bersama wakil rakyat mereka ke tempat lain.

Mengakui "kebimbangan" yang mengenai konflik kepentingan, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, pertemuan yang dijadualkan itu akan diadakan di sebuah hotel.

"Terima kasih atas kebimbangan yang dibangkitkan.

"Kebimbangan mengenai peranan berkembar presiden parti dan penjawat timbalan perdana menteri diberikan perhatian sewajarnya dan JPRP (Jabatan Pilihan Raya PKR) menetapkan mesyuarat pada Rabu ini diadakan di One World Hotel, Selangor," ciapnya petang ini.

Terdahulu PKR mengeluarkan surat arahan kepada semua anggota parlimen dan anggota dewan undangan negeri (ADUN) mereka untuk hadir dalam pertemuan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 Jun ini.

Asalnya pertemuan berkenaan dirancang diadakan di Sri Satria, Putrajaya yang juga merupakan kediaman rasmi timbalan perdana menteri.

Bagaimanapun kewajaran langkah itu dipertikaikan sesetengah pihak kerana program tersebut adalah melibatkan parti, dan bukan kerajaan.

Utamakan pertemuan dirancang

Pakatan Harapan (HARAPAN) menekankan aspek kredibiliti dan pemisahan tugas antara parti dan kerajaan dalam kempen mereka menjelang pilihan raya umum (PRU) lalu.

Sebelum ini orang ramai pernah menyatakan rasa kurang senang apabila Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail membawa bersama suami dan anaknya menaiki jet kerajaan semasa berkunjung dalam lawatan rasmi ke Kelantan.

Sehari kemudian Anwar menaiki pesawat udara tambang murah dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang untuk pulang ke Pulau Pinang.

 

 

Sementara itu dalam surat yang dikeluarkan Nurul Izzah, PKR mengarahkan semua wakil rakyat mereka memberi keutamaan untuk hadir ke majlis tersebut.

Majlis pertemuan khas tersebut diadakan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mewartakan secara rasmi keputusan PRU ke-14 pada 28 Mei lalu.

Kata Nurul Izzah daripada 113 anggota parlimen Pakatan Harapan - tidak termasuk dari Parti Warisan Sabah - PKR kini mempunyai anggota terbanyak di Dewan Rakyat iaitu 49 orang.

Di peringkat DUN pula katanya PKR mempunyai 67 wakil di seluruh negeri kecuali Kelantan dan Terengganu.

"Kemenangan ini juga adalah isyarat penerimaan dan kepercayaan rakyat kepada PKR untuk melaksanakan semua agenda reformasi yang kita perjuangkan selama ini," katanya.

Sehubungan itu kata Nurul Izzah JPRP telah diarahkan oleh Anwar untuk memanggil semua anggota parlimen, ADUN dan mantan serta pengerusi Majlis Pimpinan Negeri serta pengarah JPRP ke satu pertemuan khas dengan beliau," katanya.


Baca Izzah: Naik jet kerajaan kerana undangan rasmi


Sementara itu Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin memberitahu Malaysiakini program tersebut adalah yang pertemuan rasmi pertama wakil rakyat parti itu dengan Anwar sejak beliau dibebaskan dari penjara.

"Sejak bebas Anwar belum bertemu dengan semua wakil rakyat parti. Jadi ini adalah pertemuan rasmi beliau sebagai ketua umum parti," katanya.

Lihat Komen