malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lepas Anwar diampun, Munawar tuntut namanya dibersihkan
Diterbitkan:  Jun 3, 2018 12:34 PM
Dikemaskini: 4:55 AM
ADS

Salah satu watak penting dalam saga pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 lalu, hari ini tampil meminta supaya namanya dibersihkan daripada tuduhan dan sabitan mahkamah.

Dr Munawar A Anees berkata sudah 20 tahun berlalu sejak polis menyumbatnya ke penjara "hanya kerana bersekutu dengan Anwar".

Katanya dia tidak melakukan sebarang kesalahan namun polis datang ke rumahnya dan membawanya pergi.

"Apabila anak saya balik dari sekolah pada hari itu, bapa mereka sudah tiada. Ibu mereka ditinggalkan tanpa dapat menjelaskan apa yang berlaku," katanya melalui sepucuk surat terbuka untuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kata bekas penulis ucapan untuk Anwar itu lagi dia menjadi mangsa kepada permainan politik dan kini ia melengkapkan kitarannya.

"Dengan bersihnya nama Anwar melalui pengampunan (diraja), rekod jenayah yang tidak adil ke atas saya juga mesti dipadamkan.

"Saya, dengan itu, meminta anda - sebagai ketua kerajaan - memastikan saya mendapat pengampunan penuh bagi membersihkan nama serta bayang-bayang yang tergantung di sekeliling saya..

"Saya tak boleh melupakan apa yang dilakuka polis terhadap saya," katanya.

Munawar, 70, adalah lelaki warganegara AS keturunan Pakistan yang pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dua minggu selepas Anwar dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri.

Munawar mendakwa diseksa dan dipaksa membuat pengakuan palsu bahawa dia "membenarkan dirinya diliwat" oleh Anwar. Dia kemudian dipenjara selama empat bulan.

'Pengakuan' itu juga menjadi alasan untuk polis menangkap Anwar pada 20 Sept 1998 sebelum mendakwanya atas beberapa tuduhan rasuah serta salah laku seksual.

Berikut adalah petikan surat terbuka berkenaan:

Kepada Dr Mahathir Mohamad, tahniah atas pelantikan sebagai perdana menteri Malaysia. Saya gembira melihat pilihan raya umum lalu berjalan dengan adil. Saya harap ini akan membawa fajar untuk demokrasi di Malaysia - sebuah negara yang menyaksikan anak-anak saya membesar.

Saya mengalu-alukan inisiatif anda untuk memohon pengampunan buat ketua umum PKR Anwar Anwar Ibrahim. Ia menandakan ada mengakui kesilapan-kesilapan lalu anda dan mahu memperbetulkannya.

Jika Malaysia benar-benar melangkah menuju demokrasi bermakna maka negara ini mesti mengambil kira semua kesalahan silamnya. Demokrasi yang dibangunkan di atas tubuh-tubuh orang tidak berdosa - termasuk saya - bukanlah demokrasi sama sekali.

Saya menulis ini untuk meminta anda memberi saya dan keluarga saya apa yang anda hutang: keadilan.

Sudah 20 tahun sejak polis Malaysia mengumban saya ke penjara atas tuduhan yang direka hanya kerana saya bersekutu dengan Anwar.


Baca Agong perkenan pengampunan penuh buat Anwar


Saya tidak melakukan sebarang jenayah tetapi polis datang ke rumah saya dan membawa saya pergi. Apabila anak-anak saya balik dari sekolah pada hari itu bapa mereka tiada. Ibu mereka ditinggalkan sendirian tanpa tahu bagaimana menjelaskan apa yang berlaku.

Pada waktu itu matlamatnnya ialah mencemarkan Anwar secara politik. Dia juga ditangkap pada sekitar waktu itu dan dihumban ke penjara.

Polis cuba mengaitkan saya secara salah dengan jenayah-jenayah bersama Anwar. Awalnya saya menafikan semua tuduhan dan tegas menolah sebarang usaha mengaitkan saya dengan sebarang kesalahan. Ketika itulah penderaan bermula.

Polis menundukkan saya dengan segala cara penderaan: memukul menyiram air sangat sejuk, menghalang saya tidur dan makanan.

Seksaan itu memberi kesan serius kepada saya hingga saya mengalami masalah jantung dan terpaksa dibawa ke hospital. Di sana, buat kali pertama, saya dibenarkan melihat keluarga saya.

Selepas diseksa berminggu-minggu, saya mengalah. Saya beritahu mereka yang mendera itu - iaitu anggota polis anda - apa yang mereka mahu dengar. Tak ada satu pun yang betul.

Semua yang saya cakapkan ketika itu adalah supaya mereka berhenti menyeksa saya. Apabila saya dibawa ke mahkamah saya ulangi apa yang saya katakan kepada polis, bimbang jika tidak berbuat begitu, maknanya saya akan diseksa lagi.

Butiran ngeri mengenai penahanan dan seksaan saya di bawah ISA boleh didapati dalam perakuan sumpah saya pada7 Nov 1998.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen