malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Anwar bimbang perbezaan pendapat dalam HARAPAN
Diterbitkan:  Jun 1, 2018 12:25 AM
Dikemaskini: 4:31 PM
ADS

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan kebimbangan terhadap reaksi sikap bermusuhan mengenai pendapat berbeza yang tidak sehaluan di dalam Pakatan Harapan (HARAPAN).

Beliau berkata demikian sebagai mengulas reaksi sikap bermusuhan kepada Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang berkata kajian Invoke mendapati sebab utama pengundi beralih sokongan daripada BN adalah kerana isu kos sara hidup dan bukan kerana Tun Dr Mahathir Mohamad yang memimpin HARAPAN.

Beberapa pemimpin BERSATU telah mengkritik penemuan Rafizi itu.

"Saya bimbang beberapa response seolah dalam sistem kita ini tidak boleh ada sedikit pandangan berbeza. Ini berbalik kepada sistem lama.

"Apa salah anak muda beri sedikit kritikan. Saya pun kena kritikan, soal naik jet lah, soal jalan-jalan, kalau dia tanya kita jawab, tiada masalah terhadap saya," katanya.

Anwar berkata beliau tidak mempertahankan Rafizi tetapi berkata perlu ada ruang untuk pendapat yang berbeza.

"Ada orang kritik saya kerana rasa saya pertahankan (Rafizi) tapi tidak, ada yang saya setuju ada yang saya tidak setuju.

"Tapi untuk menyekatkan kemaraan anak-anak muda yang kritikal itu penyakit sebenarnya.

"Kalau nak tonjolkan barisan pimpinan baru kita kena beri ruang atau latitude atau space untuk walaupun pada pandangan kita itu, bagi saya, kurang menyenangkan.

"Beriilah ruang anak-anak muda bagi pendapat, kita bicara soal era baru, lebih terbuka, media sosial, lebih demokratik, transformasi yang lebih menyakinkan tapi bila pandangan lain sikit dah timbul kegelisahan seolah akan mengegarkan," katanya.

Menurut Anwar tanggapan sebegini perlu diperbetulkan.

"Kalau ada pimpinan yang fikir begitu (perbezaan pendapat) harus diperingatkan semula," katanya lagi.

Anwar menyifatkan Rafizi seorang yang "kontroversi" tetapi berkata beliau bekerja keras untuk HARAPAN pada PRU14 lalu.

"Tapi kalau dia, kita rasakan terlalu terlajak, tugas kita untuk nasihat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen