Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yakin masyarakat tempatan tidak akan mengundi berdasarkan garis perkauman apabila pilihan raya kerajaan tempatan diadakan dalam masa tiga tahun lagi.
"Nampaknya ia mendapat perhatian beberapa parti politik," katanya kepada media pada majlis berbuka puasa, anjuran kementeriannya malam ini.
"Tetapi saya tidak fikir ia akan berlaku," katanya.
Menurut Zuraida, ini sebahagiannya kerana kementerian akan memastikan masyarakat bersedia untuk pilihan raya itu.
"Oleh itu, orang ramai tidak perlu bimbang mengenai penguasaan mana-mana kaum dalam pilihan raya berkenaan. Ini mementingkan perkasakan komuniti.
Kajian lihat model terbaik
“Saya akan bawa Dasar Komuniti Negara tidak lama lagi. Jadi, pilihan raya ini lebih mengutamakan kepada merit, kredibiliti dan keupayaan seseorang,” katanya.
Beliau menjelaskan masyarakat akan menjadi matang tiga tahun dari sekarang dan berkata terdapat proses yang akan dilakukan kerajaan bagi memastikan masyarakat tidak lagi memainkan tanggapan perkauman.
Zuraida juga berkata kementeriannya akan memulakan kajian dan melihat model pilihan raya kerajaan tempatan di luar negara.
"Boleh jadi model hybrid (campuran) daripada beberapa model bagi memberikan kita model (pilihan raya tempatan) yang terbaik, bukan hanya satu contoh sahaja," kata Zuraida.
Beliau juga maklum pelaksanaan sebarang pilihan raya kerajaan tempatan perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri terlebih dahulu.
Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) antaranya berjanji untuk mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan yang kali terakhir diadakan pada 1964, sebelum diharamkan.