malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

PULASAN | Apabila Haji Mohammad Najibullah dilantik menjadi presiden Afghanistan akhir Sept 1987 tidak ada sebarang tanda menampakkan negara itu akan menikmati keamanan.

Pada ketika tertentu dia ada membuat dasar khusus bagi meredakan keadaan yang tegang, namun pada kebanyakan keadaan, Afghanistan tetap menjadi negara gagal.

Selepas Soviet Union diundurkan pada pertengahan 1989, Najibullah mengisytiharkan darurat empat hari kemudian. Banyaklah langkah yang diambil sesuai dengan status darurat berkenaan.

Namun dalam semua keadaan, presiden itu menyediakan formula yang sangat perlu buat kumpulan mujahidin yang berpuak-puak di negara berkenaan.

Haji Najibullah itu - tanpa disedarinya - menjadi faktor yang menyatukan kumpulan bawaan Abdul Rabb Rasul Sayyaf, Gulbuddin Hekmatyar, Burhanuddin Rabbani, Ahmed Shah Massoud dan yang lain-lain.

Apabila Najibullah berjaya ditekan sehingga terpaksa meletak jawatan pada Mac 1992, nampak semacam ada harapan di Afghanistan. Negara itu seperti dibebaskan daripada cengkaman yang dibenci rakyat negara itu.

Dia cuba melarikan diri tetapi digagalkan oleh bekas jeneral komunis dan pegawai tentera yang pernah setia kepadanya - Abdul Rashid Dostum. Maka terpaksalah dia mengharapkan belas ihsan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Kepala tak dingin, hati tertutup

Tanpa Najibullah Afghanistan nampak seperti keluar daripada masalah. Isunya ialah negara itu rupa-rupanya memasuki masalah yang lain.

Ketika peluang menyelamatkan negara terhidang di depan mata, pelbagai puak yang bersatu sebelum itu menjadi tenggelam punca. Tiba-tiba mereka tidak lagi mempunyai musuh bersama untuk ditentang, sebaliknya apa yang ada ialah musuh berbeza-beza.

Maka berlakulah pertembungan kepentingan dan matlamat yang rencam.

Lalu wujud persaingan sesama sendiri. Rakan seperjuangan tidak lagi dianggap pihak yang wajar diajak berunding dengan hati yang terbuka dan kepala yang dingin.

Untuk tambah menyedapkan krisis, alasan agama digunakan di sana sini. Dan alasan agama itu jugalah yang lebih menghuru-harakan Afghanistan apabila kumpulan Taliban tiba-tiba muncul dan menjadi kuasa ampuh di situ.

Selebihnya adalah cerita pertumpahan darah dan kematian yang tidak berkesudahan sehingga kini.

Itu kisah Najibullah yang di Afghanistan. Bagaimana pula dengan Najib Abdul Razak di Malaysia?

Putrajaya tanpa Najib bukan sekadar Malaysia tanpa watak penting dalam skandal 1MDB. Ia membawa maksud Malaysia tanpa Umno dan BN sebagai kerajaan persekutuan.

Lebih daripada itu, ini adalah kali pertama Malaysia bebas daripada parti yang dibenci ramai sehingga mendorong sebahagian besar rakyat negara ini memilih Pakatan Harapan (HARAPAN).

Situasinya kira-kira HARAPAN yang tanpa faktor penyatu serta musuh bersama mudah. Ketika ini apa yang menyatukan HARAPAN ialah Putrajaya saja.

Sedapnya ada kuasa

Tidak membantu sama sekali ialah sejumlah orang dengan mulut yang seolah-olah tidak dapat dikawal ludahnya. Pada mana-mana kesempatan yang ada dia akan menggunakan ludah itu untuk membuktikan bahawa dia adalah sentiasa betul dan orang lain semuanya salah.

Tanpa Najib, bukan tidak ada musuh bersama yang lain. Ada. Terserah kepada pemimpin parti HARAPAN untuk mencari sudut pandang yang betul dan waras.

Musuh bersama yang ada pada kerajaan HARAPAN ialah kegetiran hidup rakyat, perkauman dan sikap saling mencurigai, rasuah dan - tidak kurang pentingnya - perasaan bagus pada diri atau kumpulan sendiri, selain keangkuhan yang menebal.

Di luar lingkaran kuasa pula ada masalah lain, iaitu semakin bercambah individu yang seperti kurang kasih sayang. Itu belum termasuk lagi penjilat tegar yang berkerumun di mana-mana saja tempat yang dianggap boleh mengenyangkan mereka.

Kadang-kadang mereka itulah yang gigih memfitnah dan mengecam HARAPAN. Dari pentas kejian mereka mungkin boleh sampai ke dapur rumah timbalan perdana menteri.

Maklumlah, ada sesetengah pemimpin HARAPAN tidak pernah pun merasai nikmatnya kuasa. Sebahagian yang lain pula pernah bersedap-sedap dengan kuasa serta pengaruh, cuma terpinggir dalam kesakitan seketika.

Bahawa memiliki kuasa itu tidak ada salahnya bukan alasan untuk terus meyakini negara akan keluar dari masalah dalam tempoh singkat.

Jarak masa 100 hari pertama kerajaan baru yang diuar-uarkan itu adalah waktu yang mencabar. Beruntungkan mana-mana pemimpin, ahli dan penyokong HARAPAN yang menyedarinya.

Pada masa sama, ada juga pemimpin yang diuji dengan godaan 'ghanimah pascaperang' PRU14. Itu pun masalah dan bala juga. Ruang media yang terbuka luas secara tiba-tiba misalnya, adalah dugaan yang menggiurkan.

Maklumlah sekian tahun digelapkan oleh RTM dan Utusan Malaysia, misalnya. Kini tiba-tiba semuanya menjadi sangat ramah dan ihsan.

Politik lubang jalan

Justeru kita melihat ada wakil rakyat yang teruja untuk membuat kemunculan dalam program TV yang selama ini hanya banyak diisi oleh selebriti.

Memanglah, melihat wakil rakyat kita ditemu ramah dalam siri Melodi atau MeleTop sesuatu yang sangat menarik. Biasalah - naluri manusia memang begitu.

Apa saja yang langka akan dianggap berita. Justeru maka kerananyalah muncul formula tentang "anjing yang menggigit orang" dan "orang menggigit anjing" itu.

Namun sesebuah kerajaan tugasnya ialah menguruskan negara dan rakyat, manakala wakil-wakil rakyat membawa suara pengundi ke tempat yang sepatutnya.

Suatu ketika dulu ada usaha memahamkan orang ramai bahawa tugas hakiki seorang anggota parlimen atau dewan undangan negeri bukanlah melawat longkang tersumbat, lalang di tepi tali air tidak ditebas atau jalan berlubang lambat diturap.

Nampaknya ada kesan daripada nasihat itu walaupun pada masa sama, masih ada juga wakil rakyat yang menggunakan lubang jalan untuk mendapat perhatian.

Kini satu usaha perlu digerakkan supaya mereka lebih banyak melayan rakyat, pengundi dan isu-isu semasa berbanding teruja keluar TV dalam program memasak, misalnya. Atau menjadi juri Maharaja Lawak Mega.

Pada masa sama, apabila diminta untuk ditemu bual portal berita untuk berdiskusi mengenai isu semasa dan masalah negara, ada saja alasan diberi.

Lebih daripada itu kerajaan negeri atau pusat tidak perlu jadi pemurah menawarkan pingat dan pangkat kebesaran seperti pernah dilakukan sebelum ini.

Cukuplah Shah Rukh Khan, Rossa dan yang seumpama dengannya digelarkan dengan Datuk. Atau kalau mahu juga biarlah ahli perniagaan MLM serta artis berlumba-lumba mendapatkan pingat itu.


Baca Hati-hati Pak Sheikh...


Di kalangan ahli politik, biarlah mereka terbukti benar-benar berjasa dan jasanya itu pula memang banyak, barulah dihargai selayaknya.

Hodoh sebenarnya melihat kelaku ahli politik berlumba-lumba mendapatkan gelaran dan pangkat ini dengan artis.

Itu pun - kemaruk kepada gelaran, pangkat dan kedudukan - musuh bersama HARAPAN juga.

Kemudian kamu pun bertanya: Apa kaitan antara Haji Najibullah, Afghanistan, HARAPAN dan pingat?

Ini soal mantiq, kamu bukannya tahu!


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang sedang mendalami ilmu mantik pascapilihan raya.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen