malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Restoran nasi daun pisang diarah tutup serta-merta
Diterbitkan:  May 30, 2018 1:10 PM
Dikemaskini: 6:33 AM
ADS

Kementerian Kesihatan hari ini mengarahkan sebuah restoran nasi daun pisang di Kuala Lumpur ditutup serta-merta, susulan rakaman video yang tular di media sosial semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia susulan pemeriksaan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan di premis yang terletak di Bangsar itu pagi ini.

"Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan hadir ke premis bagi menjalankan pemeriksaan susulan video tular pekerjanya mencuci pinggan menggunakan air lopak di tepi jalan belakang premis.

"Premis makanan daun pisang ini diarahkan tutup serta-merta," katanya di Facebook.

Menurut laman Harian Metro, pemeriksaan dibuat bersama-sama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang mengeluarkan notis penutupan restoran itu.

ADS

Semalam rakaman pekerja Restoran Raj's Banana Leaf berbuat demikian tular di media sosial dan mendapat kritikan hebat orang ramai.

Susulan itu, pihak pengurusan restoran memohon maaf dan berkata ia dilakukan oleh pekerja baru dan telah mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat.

"Kami memohon maaf terhadap tindakan pekerja baru kami dan memahami ia tidak boleh diterima. Kami akan terus memantau bahagian dapur memandangkan kebersihan dan kesihatan adalah keutamaan kami.

"Kami juga ingin memberi jaminan bahawa Raj's Banana Leaf sentiasa lulus pemeriksaan kesihatan yang sering dibuat," kata laman Facebook restoran itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen