malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Wan Azizah pertahan Dr M terima bekas anggota Umno
Diterbitkan:  May 29, 2018 11:49 PM
Dikemaskini: 3:54 PM
ADS

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempertahankan kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Pakatan Harapan (HARAPAN) akan menerima anggota Umno selepas mereka keluar parti dan menjadi bebas terlebih dahulu.

"Kami memang terbuka untuk sesiapa yang bersama dengan kita, sebab kita nakkan rakyat bersatu untuk membina negara ini semula," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa di Lembah Pantai hari ini.

Walaupun mengakui terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan parti politik, Wan Azizah menekankan bahawa HARAPAN merupakan kerajaan untuk semua.

Sebelum ini, Mahathir berkata HARAPAN tidak akan menerima anggota Umno menyertai parti itu.

Ini berikutan ketidakpastian berhubung status undang-undang terhadap parti Melayu itu.

Sebelum ini seramai 16 bekas anggota Umno memfailkan semakan kehakiman untuk membatalkan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang membenarkan Umno melanjutkan pemilihan parti itu.

Semalam, Mahathir memberitahu BERSATU menerima banyak permohonan untuk menyertai parti itu selepas PRU ke-14, termasuk di kalangan anggota Umno.

Mahathir berkata permohonan berkenaan akan diterima selepas individu terbabit memenuhi syarat ditetapkan.

"Untuk orang Umno, BERSATU putuskan mereka boleh menyertai parti ini selepas mereka mengisytiharkan keluar dari Umno dan menjadi bebas, kemudian nyatakan pendirian terhadap kerajaan HARAPAN, barulah kami boleh pertimbang untuk menjadi ahli," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen