malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Perdana menteri yang mengejar masa
Diterbitkan:  May 29, 2018 6:48 PM
Dikemaskini: 10:54 AM
ADS

Kembali menjadi perdana menteri buat kali kedua, Tun Dr Mahathir Mohamad kini sedang mengejar masa.

Dalam wawancara bersama Financial Times, beliau menyuarakan harapannya untuk melakukan sebanyak mana yang boleh dalam baki usianya.

"Tak lama lagi saya 93 tahun...saya akan cuba mencapai sebanyak yang mungkin dengan sedikit masa yang diberi kepada saya," katanya seperti dipetik.

Kali pertama beliau menjadi perdana menteri adalah pada 1981 hingga 2003.

Pada 2016, ketika berusia 91 tahun, beliau kembali daripada persaraan untuk mengetuai Pakatan Harapan (HARAPAN) dan menumbangkan parti yang pernah dipimpinnya pada PRU ke-14.

Ia merupakan kali pertama dalam sejarah, menamatkan pemerintahan BN selama 61 tahun.

selain kerisauan berkaitan kesihatan dan usia, Mahathir juga sudah berjanji untuk menyerahkan kedudukan perdana menteri kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa "dua atau tiga tahun".

Pada 1998, Anwar yang merupakan pengganti Mahathir telah dipecat dan kemudiannya dipenjarakan.

Dalam wawancara itu, Mahathir mengulang kembali komitmennya untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar pada kali ini, namun berkata bekas timbalannya itu perlu bersabar.

"Saya fikir dia bukan lagi lelaki yang sama sekarang...dia sedar perkara tidak akan semudahnya bergerak seperti yang anda mahukan.

"Jadi dia perlu lebih bersabar," kata Mahathir.

Sebaik dibebaskan dan diberi pengampunan 16 Mei lalu, Anwar telah menegaskan beliau menyokong pentadbiran Mahathir dan tidak tergesa-gesa untuk menyertai kerajaan, dan akan meluangkan masa antaranya bersama keluarga dan memberi syarahan di universiti di luar negara.

Inspirasi buat Singapura

Dalam pada itu, Mahathir percaya keputusan rakyat Malaysia pada 9 Mei lalu akan memberi inspirasi kepada warga Singapura yang juga berada bawah pemerintahan parti yang sama sejak merdeka.

"Saya fikir sama seperti rakyat Malaysia, warga Singapura juga bosan dengan kerajaan dan parti yang sama sejak merdeka."

Parti Tindakan Rakyat (PAP) sudah mentadbir negara itu selama 59 tahun, sejak pilihan raya umum pertamanya pada 1959.

Dalam wawancara itu, Financial Times menyebut Mahathir sememangnya suka memberi kritikan tajam kepada negara jiran itu.

Sepanjang 22 tahun pentadbirannya, hubungan antara Malaysia dengan Singapura - dan Mahathir dengan Lee Kuan Yew - tidak selalunya tenang.

Dalam satu wawancara sebelum PRU, beliau menafikan bersikap berseteru dengan Singapura tetapi berkata beliau dan mendiang perdana menteri pertama Singapura itu berkongsi pendekatan serupa - iaitu sentiasa bertegas dalam mempertahankan kepentingan negara masing-masing.

Semalam, Mahathir mengesahkan rancangan untuk membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang dimulakan kerajaan BN, dalam usaha mengurangkan hutang negara.

Lihat Komen